“Awak Tahu Ke Repair, Awak Pun Naik Motor Je!” Niat Nak Tolong, Lelaki Ini Terkedu Dituduh Cuba Menipu

TERKEDU. Itulah perasaan seorang pemuda apabila niat untuk membantu seorang wanita menukar tayar keretanya yang pancit dibalas dengan reaksi tidak masuk akal.


Menurut Darul Azzuan Rosman, kejadian berlaku sewaktu dia dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke tempat kerja di Cheras kira-kira pukul 8.30 pagi Rabu lalu.

“Kebetulan saya nampak wanita dalam lingkungan usia 45 hingga 47 tahun keluar kereta untuk tengok tayar kereta dia. Saya pula kebetulan melepasi kereta dia.

“Jalan dekat kawasan tu tengah construction. Jadi memang tak boleh laju. Saya tengok memang tayar kereta dia pancit. Jadi saya pun berhentikan motosikal saya untuk bantu,” katanya.

Jelas pemuda berusia 38 tahun itu, sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk membantu mereka yang mengalami masalah tayar pancit jika dia kebetulan berada di lokasi kejadian.

Darul bersama isterinya menaiki motosikal yang digunakannya semasa mahu membantu wanita tersebut.

“Selalunya kes tayar pancit ni bila saya offer nak tolong orang accept tapi yang ni lain pula. Akak tu kata tayar dia belum pancit lagi.

“Dia suruh tengok tayar kereta dan dengan yakinnya dia beritahu belah bawah je kempis, belah atas ada angin lagi. Dia juga ingat saya nak tipu dia.

“Dia cakap kalau tayar pancit tahu ke saya nak repair sebab saya pun bawa motor je. Reason akak tu buat saya terdiam. Inilah kali pertama saya jumpa orang bagi jawapan macam tu,” katanya.

Namun Darul tidak ambil hati dengan kata-kata wanita itu kerana percaya dia mungkin naif pasal kereta.

“Saya tak ambil hati pun. Saya anggap dia naif dan kurang tahu pasal kereta. Mungkin juga dia terlalu berhati-hati dan risau kena tipu.

Posting Darul menjadi tular di Facebook.

“Dia juga mungkin tak tahu macam mana rupa sebenar tayar pancit. Ya lah zaman sekarang macam-macam boleh berlaku.

“Tapi bila akak tu bagi alasan tayar tak kempis cuma kempis (bahagian) bawah tu memang self-defence 2020. Bila dengar je reason dia tu saya terus gerak ke tempat kerja saya,” katanya.

Saya tak ambil hati pun. Saya anggap dia naif dan kurang tahu pasal kereta. Mungkin juga dia terlalu berhati-hati dan risau kena tipu.

DARUL AZZUAN ROSMAN.

Kisah tersebut dikongsi Darul sehingga menjadi tular di Facebook.

Rata-rata bersimpati dengan nasib Darul dan menyifatkan wanita itu sebagai kurang cerdik.

“Pergh… Bukan je kalah malah kena kutuk lagi. Kamu tu bawa motor je… tau ke repair tayar kereta… pedih,” kata Khairul.

Antara reaksi netizen mengenai posting yang tular itu.

“Mak aku pernah kata biar bodoh, jangan bodoh sombong,” kata Lukman.

Dalam pada itu, Darul turut menasihati golongan wanita khususnya supaya mengetahui asas mengenai kereta.

“Sekurang-kurangnya kena tahu pasal kereta. Selain boleh sebabkan kerosakan lebih teruk ia juga boleh menjejaskan pengguna kenderaan lain sekiranya tetap teruskan pemanduan dengan keadaan tayar pancit,” katanya.

Kredit: mStar