“AZMIER (arwah) baru saja khatam al-Quran dua hari lalu dan hari ini dia ‘pergi’ buat selama-lamanya,” kata Azhar Bakar, 52, mengenai anak lelakinya yang lemas ketika mandi di pantai berhampiran sebuah hotel di Batu 4 Jalan Pantai, Port Dickson, hari ini.
Azmier, 14, ditemui pasukan mencari dan menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang pada 1.35 tengah hari selepas sejam dilaporkan hilang.
Menurut Azhar, dia bersama isteri Zorani Abu Talib, 49, dan tiga anaknya berusia lapan hingga 14 tahun ke pantai itu dari Petaling Jaya untuk beriadah.
“Kami tiba pada 12.30 tengah hari, tapi Azmier seperti merajuk dan tidak mahu keluar kereta.
“Saya bertanya beberapa kali apa yang dimahukan tetapi dia hanya diam sebelum mengambil pelampung dan berlari ke pantai.
“Saya dan isteri kemudian menyediakan makanan di tepi pantai manakala dua adik arwah turut ke pantai,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik Hospital Port Dickson (HPD), hari ini.
Bercerita lanjut, Azhar berkata, beberapa minit kemudian dia mendapati Azmier hilang dan hanya dua anaknya berada di pesisir pantai menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.
“Saya bertanya mereka ke mana abangnya pergi dan mereka beritahu abang sedang mandi. Saya nampak pelampung yang digunakan Azmier sudah berada jauh, kira-kira 200 meter dari pesisir pantai.
“Saya segera berenang mendapatkannya tetapi tidak nampak kelibat arwah. Saya mendapatkan bantuan orang ramai untuk mencari Azmier serta menghubungi talian kecemasan,” katanya.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba tiba di lokasi dan memulakan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sebelum mayat anaknya ditemui sejam kemudian.
“Walaupun sedih dengan kejadian ini, saya lega kerana mayat anak ditemui. Saya reda dan menganggap ini sudah suratan takdir,” katanya yang memberitahu jenazah arwah dibawa pulang ke kampung di Kuala Selangor untuk dikebumikan.