Bapa Niat Untuk Bawa Anak Berjalan, Namun Sebaik Tiba, Beliau Terdiam Kaku Gara-Gara Anaknya Ditemui Rentung

“SEPATUTNYA mereka bersama bapanya (Sudirman Hajar) pagi ini pergi ke pekan Keningau untuk membeli kelengkapan sekolah dua anaknya.


“Tapi menyedihkan mereka ditemui rentung bersama ibu dan sepupu mereka,” kata ibu saudara, Hamisah Lapulo, 39, kepada Khatijah Omar yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Menara Pamilan, Tenom, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, tiga kanak-kanak Mohd Sakiran Sudirman, 11, Zahid, 9, dan Sapura berusia tiga tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang turut ditemui rentung iaitu Adira Suhaili, 12, anak saudara kepada Khatijah.

Sementara suami Khatijah, Sudirman Hajar, 40, melecur di kepala, badan dan tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Tenom.

Ketika ditemui di lokasi kejadian, Hamisah berkata, dia yang tinggal kira-kira satu kilometer dari kediaman anak saudaranya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi abangnya.

“Saya terkedu apabila dimaklumkan salah seorang anak Katijah ditemui rentung lalu bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami dimaklumkan Khatijah dan dua anaknya serta seorang lagi keluarga mereka juga meninggal dunia.

“Sudirman baru dua hari tiba di rumah mereka kerana bekerja di Semenanjung sebagai juru perunding binaan. Sepatutnya Sudirman membawa Katijah bersama anaknya ke pekan Tenom untuk membeli kelengkapan sekolah dua anaknya iaitu Sakirin dan Zahid.

“Namun hasrat itu tidak kesampaian dan berakhir tragedi yang amat menyedihkan,” katanya.