Baru Umur 15Tahun Dah Nikahkan Kakak Sendiri. Ini Respond Bangga Mak Tentang Anaknya

“ALLAH SWT beri saya ketenangan dan Alhamdullilah, saya berjaya menikahkan kakak,” kata Ismaildaniel Ibrahim, 15, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, Dungun, semalam.

Ismaildaniel yang juga anak bongsu daripada empat beradik berjaya menikahkan kakak keduanya, Noriffa Akasha, 21, bersama pasangannya, Ahmad Asyaf Syafik Ahmad Shamsuddin, 27, kira-kira 9 malam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah itu berkata, dia berlatih beberapa kali sebelum berjaya menyempurnakan majlis berkenaan.

“Ketika perkahwinan kakak sulung, Norintan Azlin, 24, dua tahun lalu, saya tidak berani berbuat demikian kerana merasakan saya masih kanak-kanak.

“Sebelum ini, ibu, Salmiah Ali, 43, meminta saya berbuat demikian tetapi saya tidak yakin tetapi kali ini, sudah sampai masanya saya menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan arwah ayah, Ibrahim@Nordin Muhamad Ali yang meninggal dunia akibat kanser ketika saya berusia setahun.

“Sebagai anak tunggal lelaki, ini tanggungjawab saya apatah lagi ibu sentiasa berpesan arwah ayah mahu saya mengambil alih tanggungjawab itu.

“Pada mulanya, saya rasa gementar kerana bimbang akad saya itu tidak menjadi namun Alhamdulillah, semua berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Salmiah berkata, dia kagum dengan kematangan anaknya untuk menjadi wali serta menyempurnakan majlis nikah kakak kandungnya itu.

“Dia menjadi wali untuk perkahwinan kakak sulungnya dua tahun lalu tetapi dia enggan menikahkan kakaknya ketika itu kerana dia masih kecil.

“Pada mulanya, kami merancang mahu wakilkan kepada jurunikah namun Ismaildaniel minta izin untuk melafazkan akad sambil disaksikan jurunikah.

“Sebagai ibu, saya bangga apatah lagi tetamu yang hadir melahirkan perasaan kagum dengan kebolehan Ismaildaniel yang berjaya melakukannya dengan baik,” katanya.

(Visited 221 times, 1 visits today)