“Benarlah Tuanku Raja Agong Memang Seorang Yang Sangat Prihatin Kepada Rakyat, Inilah Yang Belaku Pada Saya”

KUALA LUMPUR – Sikap prihatin yang amat sinonim dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah turut dirasa sendiri petugas media yang mewawancara Seri Paduka sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara baru-baru ini.


Kejadian spontan itu berlaku apabila Seri Paduka yang sepatutnya menaiki kereta bugi selepas selesai sesi wawancara bersama Bernama dan Kumpulan NSTP tidak berbuat demikian sebaliknya menitahkan pemandu kereta bugi itu membawa Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Ahmad Fuad Yahya yang terpaksa berjalan menggunakan tongkat berikutan penyakit arthritis yang dihidapinya.

Menurut Ahmad Fuad, beliau berasa amat terkejut apabila pemandu kereta bugi Seri Paduka datang kepadanya dan memaklumkan Sultan Abdullah menitahkannya untuk membawa beliau.

“Saya berat hati untuk menaiki kereta bugi tersebut pada mulanya tetapi apabila pemandu itu bercakap tuanku sendiri yang menitahkan agar mengambil saya untuk menaiki kereta bugi itu, saya naik juga.

“Saya rasa cukup terharu dengan keprihatinan tuanku sedangkan ketika itu tuanku juga menghadapi masalah kaki dan baginda sanggup berjalan kaki semata-mata untuk beri kemudahan kepada saya,” katanya.

Terdahulu, ketika berangkat ke sesi wawancara yang diadakan di Dewan Santapan Utama, baginda menaiki kereta bugi berikutan masalah kaki yang dihadapi Seri Paduka.

Ahmad Fuad berkata, apa yang dilakukan Al-Sultan Abdullah menunjukkan sikap prihatin Seri Paduka bukan sahaja pada musibah besar kejadian bencana seperti banjir dan kebakaran yang melibatkan rakyat jelata tetapi perkara yang sekecil-kecil seumpama yang dialaminya turut mendapat perhatian Seri Paduka.

Menurut Ahmad Fuad, ketika beramah mesra dengan media yang hadir sebelum sesi wawancara itu, Seri Paduka sempat bertanya keadaan kakinya.

“Saya katakan kepada tuanku yang saya akan jalani pembedahan pada hujung bulan ini. Baginda turut bertanya di mana pembedahan akan dilakukan dan doktor yang terlibat dalam pembedahan itu.

“Sempat juga tuanku berseloroh bertanya, berani ya? Saya anggap tuanku seorang Yang di-Pertuan Agong yang sangat ringkas, sanggup mengetepikan protokol istana untuk bertanya khabar rakyat,” menurut Ahmad Fuad yang pastinya tidak akan melupakan kenangan manis itu sepanjang kerjayanya sebagai wartawan. – Bernama