“Dia Cuma Sedikit Rindu Pada Arwah Ibunya Apabila Tiba Masa Untuk Menyusu.”

SHAH ALAM – “Alhamdulilah, Hana sudah boleh terima takdir babah dan mama dia sudah tiada.. Cuma Hani masih lagi ‘memerlukan’ mama dia kerana dia masih menyusu badan,”.


Demikian luahan Aizat Ahmad Zaini, adik lelaki kepada Nur Syuhadah, 31, yang maut bersama suaminya, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Selasa lalu.

Aizat yang mengambil alih menjaga Hana Safiyyah, 6, serta adiknya Hani Safina, 2 buat sementara waktu berkata, dia bersyukur kerana Hana sudah boleh menerima pemergian kedua-dua ibu bapa mereka.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, arwah kakaknya iaitu ibu kepada Hana pernah menerangkan mengenai kematian sebelum ini kepadanya.

“Tahun lepas, apabila bapa angkat kami (yang Hana panggil atuk) meninggal dunia, arwah kakak pernah terangkan kepada Hana mengenai kematian.

“Dia memberitahu Hana ‘atuk’ sudah tiada dan dia tunggu kita ‘disana’. Jadi, apabila perkara sama menimpa Hana, dia masih mengingati apa yang diajar oleh mamanya dan boleh menerima takdir dengan tenang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 11, di sini hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai anak kedua pasangan terbabit, Hani Safina yang berusia dua tahun, Aizat memberitahu kanak-kanak itu masih terlalu kecil untuk memahami apa yang berlaku.

“Hani masih kecil dah dia masih menyusu badan, amat sukar untuk memahami kehilangan kedua ibu bapanya.

“Dia cuma sedikit rindu pada arwah ibunya apabila tiba masa untuk menyusu. Buat sementara waktu ini jika dia hendak menyusu kami akan memberinya susu botol,”jelasnya.

Mengulas lanjut, dia berkata, apabila kedua beradik itu rindu pada kedua ibu bapa mereka, hanya dua biji bantal yang sering dibawa ke mana-mana tempat untuk melepas rindu.

“Hana dan Hani akan sentiasa membawa bantal kesayangan mereka yang sentiasa akan dibawa oleh kedua ibu bapa mereka ke mana sahaja mereka pergi.

“Bagi mereka (Hana dan Hani) bantal itu seperti ibu mereka sentiasa ada bersama,”katanya.

Kosmo! pada Rabu lalu melaporkan, dua kanak-kanak menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata apabila kedua-dua ibu bapa mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur di sini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR500, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan isteri, Nur Syuhadah Zaini, 31, yang merupakan pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian. -K! ONLINE