Berang Dapat Makanan Lambat, Video Penjaga Zoo Diterkam Singa Viral

KARACHI: Seorang penjaga zoo di Pakistan diserang seekor singa putih semasa memberinya makan daging mentah dari luar kandang.

Kannu Piraditta ketika itu sedang memberi makan haiwan pemangsa tersebut apabila dia tiba-tiba diterkam dalam kejadian di Zoo Karachi, pada Isnin.

Menurut pengarah zoo, kejadian dipercayai berlaku setelah singa putih berkenaan lewat diberi makan.

Mengikut jadual rutin, haiwan itu sepatutnya diberi makan pada waktu tengah hari, namun makanan untuknya hanya diberikan pada jam 5 petang.

“Menurut Prosedur Operasi Standard Zoo (SOP), semua haiwan akan diberi makan di bawah pengawasan zoologi dan doktor haiwan,” katanya.

Katanya lagi, semua kakitangan diberi latihan mencukupi bagi memastikan mereka selamat daripada ancaman haiwan liar.

Kannu yang berpengalaman lima tahun memberi makan dan membersihkan sangkar haiwan dilaporkan cedera parah selepas singa putih itu menerkam dan mencengkam kuku pada tangan kirinya.

Selain kecuaian itu, haiwan berkenaan juga sepatutnya diberi makan dari belakang sangkar dan bukannya secara berdepan.

Kannu terselamat daripada maut setelah berjaya melepaskan diri daripada cengkaman haiwan pemangsa tersebut.

Datuk Bandar Karachi dalam pada itu mengarahkan siasatan dijalankan terhadap penjaga kerana melanggar prosedur standard.