‘Cancel’ Diet Bila Buat Lauk Ini,Udang Masak Rempah Pulau Pinang

Mari cuba buat Udang Masak Rempah cara Pulau Pinang ini. Hidangan ini memiliki tekstur yang lembut dan kenyal setelah dimasak.


Udang masak rempah Pulau Pinang mengandungi pelbagai rempah-rempah tradisional yang memberikan aroma khas. Lauk ini sering dihidangkan dengan taburan daun ketumbar sebagai hiasan, memberikan aroma yang segar dan tambahan rasa pada sajian akhir.

Ikuti resipi dari perkongsian @naarzff menerusi laman TikTok. Lihat dari cara memasaknya pun sudah membuatkan kita pun rasa terliur untuk mencubanya.


RESIPI UDANG MASAK REMPAH PULAU PINANG

udang masak rempah

Bahan-bahan:

  • 500gram udang galah – sudah disiang
  • 2 biji bawang merah – hiris
  • 2/3 batang cili hijau – hiris
  • 2 biji tomato – hiris
  • Sedikit minyak masak untuk menumis
  • Sedikit santan pekat – agak-agak
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Daun ketumbar – hiasan

Bahan rempah:

  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 2 sudu besar serbuk jintan putih
  • 2 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis

*Campurkan ke semua ini dan masukkan sedikit air untuk dijadikan bancuhan rempah

Cara-cara memasak:

1. Mula-mula, tumiskan dahulu bawang merah yang sudah dihiris sehingga naik bau dan layu.

2. Masukkan pula bancuhan rempah, cili hijau dan tomato. Tumis sehingga pecah minyak.

3. Pastikan betul-betul pecah minyak. Jika tidak, kuahnya akan rasa pahit rempah. Lagi lama menumis rempah, lagi sedap.

4. Selepas kuah rempah sudah pecah minyak, barulah masukkan sedikit santan pekat. Sukatan hanya agak-agak dan tidak terlampau banyak.

5. Masukkan pula perasa seperti garam dan gula secukup rasa.

6. Boleh masukkan udang galah dan gaul sebati sehingga masak. Boleh tambah air jika kuah sedikit kering.

7. Akhir sekali, boleh masukkan hirisan daun ketumbar sebagai hiasan serta menaikkan lagi aroma hidangan. Tutup api dan siap!

8. Sedia untuk dihidang.


Selamat mencuba resipi Udang Masak Rempah Pulau Pinang ini.