Cara Mudah Buat Racun Organik Buatan Sendiri Yang Selamat Dan Mesra Alam

Cara Mudah Buat Racun Organik Buatan Sendiri


Kebun saya selalu diserang serangga perosak seperti koya-koya (mealy bug) dan ulat bulu. Habis pokok saya banyak mati. Saya jenis tak suka guna racun kimia.

Koya-koya sering menyorok di bawah daun tumbuhan.

Pertama, sebab harganya mahal. Bayangkan satu botol kecil saiz tin minuman, harga sudah boleh mencecah RM100. Walhal guna sedikit sahaja. Sangat tidak sesuai untuk pekebun bandar skala rumah.

Kedua, penggunaan racun kimia berbahaya. Kelengkapan seperti penutup mulut dan sarung tangan wajib ada semasa kendali racun kimia. Saya tahu sebab semasa saya belajar di UPM dulu, saya kena buat begitu. Jika tak kena marah dengan pegawai bertugas. Cuba fikir. Jika untuk kendalikan racun kimia itu sendiri sudah perlu berhati-hati. Apatah lagi apabila kita sembur pada tanaman yang akan masuk perut kita? Bukankah bahaya?

Jadi saya pun mencari resipi buat racun organik di rumah. Akhirnya jumpa satu untuk saya kongsikan resipi membuat racun organik.

Bahan A (kisar):

  1. Bawang putih – 1 labu
  2. Cili padi – 6 biji
  3. Air  – 300 mL (satu cawan biasa)

Setelah kisar semua bahan A, peram selama 24 jam.

Bahan B:

  1. Minyak masak (apa-apa jenis minyak masak pun boleh) – 1 sudu makan
  2. Sabun pencuci pinggan (tak kisah jenama apa pun) – 1 sudu teh

Alat:

  1. Penapis
  2. Penyembur – 1.5 L

Cara:

  1. Tapis bahan A dan ambil patinya. Hampas kisaran boleh dibuang pada pangkal pokok untuk dijadikan baja
  2. Simpan pati di dalam bekas dan masukkan ke dalam peti ais untuk tahan lama
  3. Masuk 100 mL pati dan bahan B ke dalam penyembur
  4. Isi air penuh botol penyembur (1.5 L)
  5. Goncang sehingga semua bahan sebati
  6. Sembur sampai basah daun terutama bawah daun dengan kadar tiga hari sekali pada pokok bermasalah.
  7. Jika pokok tiada masalah serangga, sembur juga sebagai kawalan.

Cuma sedikit peringatan. Sembur sikit dahulu pada satu pokok. Ini kerana ada pembaca Kebun Bandar yang beritahu apabila sembur ramuan racun organik ini pokoknya menjadi layu. Jika pokok layu, terus basuh dengan air biasa sehingga hilang cecair racun organik ini pada pokok.

Semoga bermanfaat. Silakan share.

Kredit: Kebun Bandar