Che Hassan Jana Pendapatan RM12K Sebulan Dengan Hanya Jual Telur Itik Dan Telur Masin

Kerja jual telur itik je, pendapatan bulanan melebihi lima ribu pada setiap bulan. Siapa sangka perkerjaan macam ni menjanjikan pendapatan yang sangat lumayan mengalahkan pegawai kerajaan.


Che Hassan Che Mud yang berusia 59 tahun ini akhirnya telah berjaya dengan caranya yang tersendiri serta mampu membebaskan dirinya dan keluarga daripada kemiskinan dengan hanya menjual telur itik sahaja.

Menurut laporan Sinar Harian, Che Hassan telah mengusahakan ternakan telur itiknya semenjak tahun 2013 lalu dengan dibantu oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi Program Azam Tani.

Menurut pengusaha ini secara berterus terang, sebelum beliau menyertai program tersebut, pendapatannya pada setiap bulan dalam anggaran RM600 sahaja. Walau bagaimanapun, selepas mendapat bantuan daripada MARDI pendapatan kini berjaya memperoleh sebanyak RM12,000 sebulan

“Pada peringkat awal saya hanya menternak 50 ekor itik dan memproses telur masin kepada penduduk di kawasan kampung sahaja.

“Hasil bimbingan dari MARDI, saya telah menambah jumlah ternakan itik menjadi 100 ekor.

Selepas melihat perniagaan dan perusahaan menunjukkan potensi yang tinggi, beliau akhirnya nekad untuk menambahkan ternakan itik untuk mengandakan hasil pengeluaran telur iti selepas mendapat permintaan yang tinggi.

Che Hassan turut memaklumkan bahawa sehingga kini dia telah memiliki kira-kira 1,100 ekor itik dan empat reban yang telah ditempatkan berdekatan dengan kawasan di Kampung Che Mali, Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan

“Setiap hari, hasil telur yang dikutip sekitar 860 hingga 950 biji dan ia akan dikumpulkan di bengkel untuk penyediaan telur masin.

“Kerja tersebut turut dibantu penduduk kampung yang diupah secara harian dan ada juga yang berkerja tetap.

Melalui Harian Metro, Che Hassan turut menekankan bahawa sebenarnya adalah tidak susah untuk memelihara itik kerana dia lebih gemar ternakannya itu bebas mencari makanan mereka sendiri di kawasan sawah padi.

“Itik yang dilepas bebas akan lebih aktif dan mudah mengawan selain kawasan sawah mempunyai banyak siput yang baik untuk ketahanan fizikalnya

“Namun ada juga makanan tambahan yang saya beri supaya lebih sihat. Bagi penghasilan telur pula, ia bergantung kepada cuaca.

“Jika musim hujan, telur yang dihasilkan berkurangan sedikit kerana persekitaran yang sejuk berbanding ketika cuaca normal.” katanya yang sebelum ini turut mengusahakan sawah padi.

Mungkin masih ada yang tidak tahu bahawa penghasilan telur masin juga berbeza kerana menggunakan kaedah rendam bersama garam atau dijadikan jeruk berbanding kebanyakkan telur masin yang diselaputi dengan tanah liat dan juga arang.

Menurut beliau lagi, harga jualan borong setiap biji telur itik mentah berharga 44 sen dan telur masin 65 sen. Beliau menjual telur masin yang diisi dalam bekas sebanyak 30 biji dengan harga RM25 dan RM65 untuk 100 biji.

Telur masin Che Hassan juga telah diambil pihak MARDI sebanyak 250 balang untuk dijual di Lembah Klang yang berisi 30 biji bagi setiap balang, ini menjadikan pasaran telur Che Hassan semakin berkembang.

“Dengan menjual telur itik hasil penternakan ini, ia secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga, malah terkeluar daripada garis kemiskinan apabila mampu memperoleh pendapatan kasar RM12,000 sebulan.”

Sebenarnya, sesiapa pun boleh berjaya macam ni kalau ada minat dan usaha serta semangat yang tinggi untuk membina keluarga serta untuk mencari duit, asalkan jangan berputus asa. Betul tak? – MediaMaklumat.com