“Cheminahsayang” Bangga Berkongsi Rahsia Hubungan Baik Dengan Negara Singapura, Rupanya Ia Rahsia “Sambal Belacan”

KUALA LUMPUR – Tanpa disedari ramai, ‘diplomasi sambal belacan’ secara tidak langsung telah menjadi instrumen mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Perkara itu akhirnya diketahui umum apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkongsi kisah menarik mengenai sambal belacan hasil air tangannya yang digemari seorang pemimpin dunia.

Siapa sangka sambal belacan yang sudah menjadi kelaziman untuk dinikmati bersama nasi putih mahupun juadah masakan lain bagi rakyat Malaysia turut memikat hati bekas Perdana Menteri Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam satu hantaran di laman Twitter, Tunku Azizah yang lebih dikenali ‘cheminahsayang’ dalam platform media sosial itu menarik perhatian bahawa baginda pada masa dahulu merupakan pembekal rasmi sambal belacan kepada Kuan Yew.

Malah, Raja Permaisuri Agong masih menjadi pembekal sambal belacan ke republik itu dan kini dinikmati oleh anak mendiang Kuan Yew yang merupakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Yang ni, dah lama saya nak ‘share’ dengan rakyat Malaysia…. saya dulu… the official sambal belacan supplier to the Prime Minister of Singapore.. Datuk Lee Kuan Yew… and now supply kepada anaknya PM Lee juga,” ciapnya.

Surat bertarikh 23 Julai 2009.

Tunku Azizah pada masa sama turut berkongsi gambar sepucuk surat diutus oleh bekas Perdana Menteri Lee yang dimuat naik dalam akaun Instagram ‘airtangan_tunkuazizah’.

“Enam paket (sambal) belacan yang Tuanku berikan kepada saya sangat sedap. Saya menikmatinya bersama dua anak lelaki saya. Semuanya habis dimakan. Ia sambal belacan terbaik yang pernah kami rasai. Jika boleh keluarga saya mahu menikmatinya lagi. Maaf kalau menyusahkan. Sambal ini menjadikan banyak hidangan lebih sedap.” tulis surat itu yang diterjemah dalam bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan   Keluarga Gembira Bertukar Misteri Gara-Gara Pizza Dipanaskan Dalam Oven Dimasak Bersama Seekor Ular

Surat berkenaan bertarikh 23 Julai 2009.

Tunku Azizah yang memuat naik gambar berkenaan pada 2 Mei 2018 di laman Instagram berkenaan menyifatkan ia sebagai surat yang paling bermakna untuknya.

“…kerana sambal belacan…terharu sangat,” titah Seri Paduka.

Akaun Instagram ‘airtangan_tunkuzaizah’ memaparkan koleksi masakan oleh Baginda yang memang dikenali sebagai seorang anak raja yang gemar memasak. – Bernama