KUALA LUMPUR, 14 Feb — Seorang wanita bukan Islam di Perak dipuji ramai apabila secara sukarela membersihkan telekung di surau awam dekat sini.
Menurut kenalannya, Li Na Cheah yang juga seorang guru, sudah lama melakukan aktiviti tersebut bersama rakan-rakannya.
“Walaupun cikgu Cheah bukan Muslim, beliau sentiasa membantu mencuci telekung dari surau awam dan menghantar semula telekung bersih ke tempat asal,” kata Raja Shamri.
“Kami sangat menyayangi cikgu Cheah dan beliau adalah inspirasi kita semua dalam kerja-kerja kemanusiaan ini.”
Tambah Raja Shamri, bukan saja barang surau, malah wanita itu juga aktif menyelamatkan kucing jalanan dan yang jatuh sakit.
Hantarannya dikongsi kira-kira seratus pengguna, majoritinya gembira dengan usaha murni Cheah.
Raja Shamri juga melampirkan halaman Facebook guru tersebut, yang menunjukkan beliau sedang melipat telekung yang sudah dibersihkan.
Berdasarkan kenyataan di status berkenaan, telekung itu adalah milik Hospital Seri Manjung.
Semakan di media sosial Cheah mendapati, beliau sentiasa melakukan kerja-kerja kemasyarakatan bersama rakan guru dan beberapa pelajarnya.