
RAMPURHAT, India – Sekumpulan doktor telah menemui lebih 1.4 kilogram (kg) barang kemas dan syiling dalam perut seorang wanita di sini baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Mereka mengeluarkan sebanyak 69 utas rantai leher, 80 subang, 46 duit syiling, lapan buah loket, 11 gelang hidung, empat anak kunci, lima utas gelang kaki dan serpihan jam tangan dari dalam perut Runi Khatun, 26, di Hospital Besar dan Kolej Perubatan Rampurhat.
Ibu kepada wanita tersebut memaklumkan dia mengesan beberapa barang mula hilang di rumahnya tetapi tidak menyangka anak perempuannya telah menelan barang-barang itu.
Kumpulan doktor terbabit mendedahkan kebanyakan objek yang ditelan wanita tersebut adalah jenis tembaga tetapi ada juga beberapa utas barang kemas mahal.
“Pesakit itu kelihatan lemah dan sangat kurus ketika dimasukkan ke hospital. Bacaan darahnya sangat rendah menyebabkan kami tidak boleh menjalankan pembedahan serta-merta,” jelas Ketua Jabatan Pembedahan hospital berkenaan, Dr. Siddhartha Biswas.
“Keadaan pesakit sangat kritikal sehingga memerlukan tambahan sekurang-kurang lima beg darah. Dia juga tidak boleh menelan makanan sehingga kami terpaksa menyuntik makanan terus ke dalam perutnya,” tambah Biswas.
Pembedahan selama satu jam 15 minit itu dijalankan selepas seminggu wanita tersebut dimasukkan ke hospital bagi memastikan keadaannya cukup stabil untuk dibedah.
Terdapat peningkatan mendadak kes pesakit menelan pelbagai jenis objek di India sejak kebelakangan ini atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Seorang pesakit di negeri Madhya Pradesh dikesan menelan sebilah pisau, satu pemutar skru serta beg plastik pada 17 Julai lalu manakala seorang lelaki di negeri Rajasthan menelan 116 batang paku pada Mei lalu. – Agensi