Dulu Bekerja Makan Gaji Di Luar Negara, Kini Usahawan Berjaya Dalam Bidang Pertanian, Bantu Ramai Pekebun Kecil

L. YOGESWARAN (dua dari kanan) mengiringi Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Nazipah Jamaludin(tiga dari kanan) semasa melawat gerainya dalam program Jualan Terus Dari Ladang di Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA – Seorang peserta ladang kontrak, L. Yogeswaran, 34, tidak menyangka keputusannya untuk menceburi bidang pertanian sejak empat tahun lalu adalah pilihan tepat malah menjadikan beliau salah seorang usahawan tani berjaya di negeri ini.


Lebih membanggakan, anak kelahiran Negeri Sembilan itu berjaya menyiapkan 32 projek pertanian serta melahirkan 33 usahawan tani baharu di seluruh negara sejak 2017.

Menurut Yogeswaran, dia mula meminati bidang pertanian ini atas pengalamannya bekerja di sebuah syarikat baja sebagai agronomis selepas 13 tahun mencari rezeki sebagai chef di luar negara.

“Pada mulanya saya berhasrat untuk membuka restoran di negara ini namun akhirnya saya memilih bidang pertanian dengan memulakan projek sebanyak 3,000 polibag di tanah seluas 0.81 hektar di Bukit Katil, di sini pada 2015 dengan modal permulaan RM25,000.

“Permintaan tinggi hasil pertanian ini termasuk ada individu yang berminat untuk turut serta membuatkan saya mengembangkan lagi perusahaan ini dan kini telah memiliki kawasan pertanian seluas 14.16 hektar di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) miliknya, Yoshi Agro Care, Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini.

Yogeswaran yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik memulakan perusahaan itu bersama isteri pada tahun 2015 dan kini telah memiliki seramai empat kakitangan tetap selain tujuh pelatih termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pesara.

“Saya berhasrat membuka Pusat Inkubasi bagi melahirkan lebih ramai usahawan berkaitan pertanian pada masa akan datang selain turut berkhidmat sebagai perunding bagi melatih mereka yang benar-benar berminat menceburi bidang ini.

“Banyak potensi produk pertanian yang boleh dikembangkan serta mendapat permintaan tinggi di negara ini namun bekalannya tidak mencukupi kerana kurang diusahakan terutamanya oleh golongan muda,” tambahnya.

Yogeswaran yang bermula dengan tanaman cili fertigasi kini mempunyai 11 jenis tanaman yang diusahakannya termasuk terung, cili padi, timun dan sayur-sayuran hijau serta mampu menjana pulangan minimum RM9,000 sebulan – Utusan Online