Dulu RM1,500 Sebulan Makan Gaji, Sekarang RM50,000 Sebulan Bisnes Buah Kelapa Pandan & Mataq

Siapa sangka daripada hanya makan gaji dengan berpendapatan RM1,500 sebulan kini Mohd Hamidi Kason, 30, mampu memperolehi berpendapatan sekitar RM50,000 setiap bulan selepas terlibat dalam perniagaan penanaman pokok kelapa.


Menurutnya, selepas melihat hasil yang memberansangkan pada permulaan penanaman tanaman itu, dia tekad untuk berhenti bekerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan pokok kelapa.

“Saya memang berminat dalam bidang penanaman ini sejak dari dahulu lagi, selepas saya melihat hasilnya lantas tidak fikir dua kali untuk berhenti berkerja.

“Saya mula hanya dengan dua ekar sahaja bagaimanapun kini saya ada sekitar 36 ekar untuk tanaman pokok kelapa jenis matag dan pandan.

“Dulu kelapa harga hanya RM1 sebiji namun kini harga kelapa boleh mencecah sehingga RM1.70 sebiji. Cuba bayangkan kalau setiap hari ladang saya boleh keluarkan lebih daripada 1000 biji kelapa sehari,” ujarnya kepada Utusan Online dalam sesi lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar di ladangnya di sini hari ini.

Menurut Mohd Hamidi, dia mendapat bantuan daripada pelbagai pihak untuk menjaga dan mengembangkan perniagaan tanaman pokok kelapa miliknya.

“Saya mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian dan menerusi bantuan itu saya dapat membuat parit dan menabur baja untuk tanaman ini,” ujarnya.

Tambah Mohd Hamidi, dia mendapat pembeli daripada pelbagai tempat antaranya Melaka, Selangor dan Singapura.

“Saya memang berhasrat untuk eksport ke luar negara pada masa akan datang bagaimanapun untuk memenuhi permintaan daripada dalam negara masih tidak mencukupi,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail memberitahu, draf rang undang-undang Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia (LPKNM) sedang dalam proses semakan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen dalam masa selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Seramai 70,000 orang pekebun kelapa dianggarkan akan mendapat manafaat yang besar hasil daripada penubuhan LPKNM ini yang bertujuan untuk memastikan pengurusan kebun dan ladang kelapa lebih sistematik serta meningkatkan lagi pengeluaran buah kelapa negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE