Eksort Musang King Ke China Dijangka Melonjak Menjelang Akhir 2019

KUALA LUMPUR: Eksport durian premium dijangka melonjak kepada tiga digit menjelang akhir 2019 daripada 5.8 peratus pada masa ini, susulan pemeteraian protokol eksport durian sejuk beku dalam bentuk biji (keseluruhan buah) dengan kuasa besar ekonomi itu.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata keyakinan tersebut berasaskan lebih banyak syarikat tempatan telah membuat janji niaga dengan China bagi eksport buah itu dan bersedia menyasarkan pasaran durian terbesar dunia berkenaan.

“Malaysia baru sahaja memeterai hak untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji ke China. Ini menunjukkan China amat berminat dengan durian premium kita.

“Saya berpandangan kita telah bersedia untuk mengeksport ke sana,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China (Sichuan)-Malaysia di sini, pada Jumaat.

Pada 20 Ogos lepas, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China, Ni Yuefeng menandatangani Protokol Keperluan Pemeriksaan dan Kuarantin dalam Pengeksportan Durian Sejuk Beku dari Malaysia ke China, di Beijing.

Susulan itu, firma e-dagang China, Alibaba Group, turut memeterai kerjasama strategik dengan pembekal durian tempatan bagi eksport durian gred premium ‘Musang King’ sejuk beku dalam bentuk biji ke China.

Sebelum ini, Malaysia hanya mengeksport durian dalam bentuk isi dan pes ke republik itu.

Sim berkata China akan menghantar pakar sanitari dan fitosanitari ke Malaysia dalam tempoh Tahun Baharu Cina (5 Feb, 2019) bagi pemeriksaan logistik.

“Mereka akan memeriksa setiap proses melibatkan pokok durian, ladang, syarikat logistik yang akan menghantar buah itu ke pelabuhan dan dari pelabuhan ke kapal yang akan membawa durian itu ke China,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perladangan durian premium akan menggantikan perladangan kelapa sawit memandangkan permintaan dari China melonjak sejak beberapa tahun lepas, ditambah dengan hasil lumayan daripada raja buah itu berbanding minyak sawit, Sim berpendapat keadaan itu dijangka tidak berlaku.

“Saya berpendapat durian tidak akan menggantikan perladangan kelapa sawit, kerana minyak sawit mempunyai penggunaan yang pelbagai dan ia memiliki pelbagai pasaran dari Eropah, Asia Barat, Asia Selatan hingga ke Afrika. Durian hanya digemari di Asia,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa pengekport durian supaya tidak menjual kesemua durian mereka.

“Saya mahu menasihati pengekport supaya tidak terlalu ghairah. Kita perlu memanfaatkan khazanah nasional kita dan mempunyai strategi durian untuk menarik penggemar durian melawat Malaysia bagi menikmati buah itu.

“Anda tahu, bagi menikmati rasa terbaik durian adalah dua hingga lapan jam selepas ia gugur dari pokok,” katanya.

Sim mencadangkan peniaga durian supaya lebih inovatif dan membangunkan lebih banyak produk hiliran seperti kuih bulan, aiskrim dan kopi durian memandangkan langkah itu akan membantu mempertingkat ekosistem pelancongan tempatan.

“Durian dalam bentuk biji berharga kira-kira RM40 sekilogram namun jika anda menjual jumlah yang sama dalam bentuk produk hiliran durian, anda boleh meraih sekitar RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, China telah membuat inovasi dan menghasilkan produk baharu berasaskan durian seperti piza durian dan ‘bak kut teh’ (sup rusuk babi) durian.

Pada 1 Nov lepas, Sim memberitahu parlimen bahawa Malaysia mengeluarkan 300,000 tan durian setahun, dengan gred premium Musang King menyumbang 23 peratus (69,000 tan) kepada jumlah itu.

Beliau berkata 5.8 peratus atau 17,000 tan durian premum dieksport ke China. — Bernama