Gara-Gara Tidak Sabar Menunggu Giliran Di Kaunter, Lelaki Ini Mengherdik Wanita Dan Mencetuskan Kekecohan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Gara-gara tidak sabar menunggu giliran untuk membayar barang di kaunter pasar raya, seorang lelaki mengherdik wanita dan mencetuskan kekecohan.


Menceritakan peristiwa itu, seorang gadis di Twitter bernama Dyna berkata ketika kejadian beliau dan kakaknya sedang membayar barangan dapur dan lelaki itu beratur di belakang mereka, menunggu untuk membayar dua botol air mineral.

Tidak menyatakan lokasi, Dyna berkata secara tiba-tiba lelaki itu mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat.

“Kaunter ini bukan laluan ekspres, barang dia dua mineral besar sahaja kemudian nak bising dan memaki,” katanya memuat naik rakaman video berdurasi 15 saat.

Katanya, berlaku pertelingkahan antara kakaknya dengan lelaki itu sebelum seorang lelaki lain masuk campur dan mempertahan mereka.

Berdasarkan rakaman, seorang lelaki berbaju biru cuba meleraikan keadaan dan mengarahkan lelaki yang mencetuskan kekecohan itu beralih ke kaunter lain namun beliau enggan.

Tambah Dyna, beliau dan kakaknya boleh bertolak ansur jika lelaki berkenaan kesuntukan masa dan meminta secara baik untuk memotong barisan.

Perkongsiannya sejak semalam dikongsi lebih 18,000 pengguna Twitter dan mendapat lebih 14,000 tanda “suka”.

Dyna pada masa turut menasihati warga maya yang beremosi dengan hantarannya agar tidak mengaitkan insiden itu dengan isu perkauman, sebaliknya sikap individu itu sendiri.

kredit projekmm