Ikuti Kisah Kejayaan Usahawan Lada negara kita, semoga mendapat inspirasi dan semangat dari kejayaan mereka.
Guru Dan Perladangan Sumber Rezeki Berganda
Laporan Oleh: Municca Kiat/ Foto : Municca Kiat & Florentus Alex (Sabah)
LAHAD DATU, SABAH, 08 Mac (Malaysiaaktif) – Pepatah Melayu menyebut ‘Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih’, sesuai menunjukkan usaha gigih suami isteri bergelar guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kemabong yang juga merupakan Usahawan Tani berjaya.
GURU SUATU TANGGUNGJAWAB
Bergelar Usahawan Tani tidak bererti tugas sebagai guru dianggap tidak penting, bahkan tugas berkenaan merupakan suatu tanggungjawab mendidik anak bangsa untuk lebih menghargai alam yang mampu memberikan hasil lumayan.
Florentus Alex, 45, berkata, bekerja sebagai seorang guru memang tidak pernah lari daripada pelbagai cabaran mendidik pelajar yang pelbagai tingkah laku dan karenah.
“Saya tidak nafikan kesabaran dan kreativiti penting untuk seorang guru membentuk kemahiran, pengetahuan dan sikap pelajar agar memahami keperluan menguasai ilmu.
“Tetapi semua cabaran tersebut sebenarnya memberi kelebihan kepada saya dan isteri, Sabini Ansumor, 45, juga dari sekolah yang sama untuk meluangkan masa mengusahakan tanaman lada kami yang turut memberi inspirasi dan semangat untuk dikongsi bersama para pelajar di sekolah itu,” kata Alex.
Alex dan isterinya bangga dengan hasil tanaman lada yang diusahakan mereka.
Tiada yang mustahil selagi usaha terus digerakkan, walaupun ada kalanya masa pencabar kesabaran untuk terus berjaya.
Menceritakan detik permulaan menceburi minat mengusahakan tanaman lada, Alex menjelaskan semuanya bermula daripada perasaan ingin tahu selepas dicadangkan oleh kenalan lamanya, Datuk Henryanus Amin pada hujung bulan Jun 2014.
“Cadangan berkenaan membuat hati dan perasaan tidak pernah berhenti untuk ingin tahu yang akhirnya membawa saya dan isteri mengikuti rombongan ke Sarawak sekitar bulan Julai tahun yang sama,” ujarnya menceritakan permulaan mendalami ilmu tanaman lada tersebut.
Tambahnya, walaupun perjalanan darat yang diikuti terasa perit, namun atas semangat mencari ilmu berkenaan tanaman lada tersebut semuanya di rasa mudah dan menggembirakan.
“Ilmu sudah diperoleh, tetapi hendak memulakan masih buntu dan akhirnya kami diketemukan dengan Pejabat Lembaga Lada Malaysia ‘Malaysian Pepper Board’ (MPB) yang berpusat di Kota Kinabalu.
“Hasilnya, kami diberi pendedahan asas pengenalan oleh Ketua Pejabat Wilayah Sabah, Asmah Morshid terhadap perkembangan industri lada sekitar bulan September di daerah kecil Kemabong yang dihadiri lebih 700 penduduk sebelum dihantar berkursus di Sarawak pada November.
KEMARAU HAMPIR MELUNTUR SEMANGAT
Sekembali berkursus, projek tanaman lada secara besar-besaran dimulakan, perasaan terharu dan gembira bercampur, harapan mula berputik mekar mengharapkan panas sampai ke petang tapi hujan di tengah jalan.
Tambah Alex, bencana alam kemarau sekitar tahun 2015 hingga 2016 menyebabkan banyak tiang sokongan hidup yang baharu ditanam telah mati.
Hasil tanaman kebanggaan Alex dan isteri
“Semangat saya hampir goyang dan mula luntur tetapi alternatif perlu diusahakan dan akhirnya dengan menggunakan tiang mati yang masih kukuh, keadaan kembali pulih dan sekarang lebih 2000 pokok berjaya membuahkan hasil lumayan.
“Terima kasih kepada isteri saya yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan dorongan ketika hati hampir lemah dengan ujian, kerana akhirnya kami berjaya mengusahakan tanaman lada kami seluas satu hektar di Kemabong,” ujar Alex penuh emosi terhadap kejayaan ini.
DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI
Melihat kepada usaha gigih berterusan daripada pengusaha-pengusaha lada di daerah terbabit, MPB menyarankan agar satu jawatankuasa dibentuk agar hasil tanaman dan juga bantuan dapat disalurkan.
Kata Alex, akhirnya semua pengusaha bersetuju memilih dia sebagai pengerusi penaja dan pada tahun 2017 mereka berjaya menubuhkan Persatuan Pengusaha Lada Sulah Tenom (PLaST).
“Kami terus mengorak langkah ke hadapan dengan mengadakan pelbagai kursus bersama MPB manakala kebun di kampung Kalamatoi, Kemabong saya jadikan Pusat Kursus Dan Latihan untuk peringkat daerah.
“Berkat kerjasama erat MPB dan PLaST, bilangan penanam lada aktif di daerah Tenom meningkat kepada lebih 20 orang.
“Kami turut menyasarkan seramai 12 orang pengusaha aktif yang baharu diiktiraf untuk mendapat bantuan MPB tahun ini,”harapannya.
Alex kini juga turut memiliki tiga orang pekerja bagi membantu mengendalikan ladang kebunnya yang telah berjaya meraih hasil purata RM4000 sebulan.
Alex (kiri) dan isteri menunjukkan produk hasil lada yang dihasilkannya bersama Pegawai Lembaga Lada Cawangan Sabah, Rahema.
POTENSI PASARAN LADA TERUS MENINGKAT
Ketika di peringkat awal tanamannya membuahkan hasil, Alex menjualnya secara kecil-kecilan di pasar-pasar tamu setiap rabu dan ahad selain menghantar tempahan di kedai-kedai dan pada orang perseorangan yang ingin menjadi pengedar kepada hasil tanamannya.
Jelasnya, pengusaha sememangnya bertuah bernaung di bawah MPB kerana sentiasa dibantu bermula daripada penyediaan benih, mengendalikan mesin pemprosesan hinggalah melakukan pemasaran.
“Impak daripada bimbingan ini saya berjaya menghasilkan resipi produk baharu yang pertama di negeri ini berasaskan lada dan limau purut.
“Hasil penyelidikan berterusan saya turut berjaya menghasilkan beberapa produk lagi yang berasaskan lada hitam dan putih serta memasarkannya secara paket dan botol atas nama jenama ‘Fresh’.
“Kini selain berjaya menghasilkan produk-produk berasaskan lada, kami juga turut berperanan sebagai pembekal benih kepada penanam lada baharu,”katanya.
Sementara itu, Sabini berkata, melihat kepada rentetan peristiwa kejayaan mereka, dia sebenarnya tidak percaya bahawa mereka mampu sampai hingga ke tahap ini.
Tambahnya, berkat sabar, berusaha, jatuh dan bangun akhirnya mereka mampu berkongsi pengalaman bersama pelajar untuk tidak mudah mengalah dengan tekanan dan terus berusaha kerana di penghujung perjuangan pasti akan ada kejayaan menanti.
Sabini dan Alex berkongsi kejayaan mereka ketika menyertai pameran Fiesta Koko dan Lada @ Lahad Datu anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia yang berlangsung di Dewan Tun Mustapha Lahad Datu pada rabu – malaysiaaktif.my
KUCHING 13 Dis. – Kerajaan Persekutuan menerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB), telah meluluskan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Skim Tanaman Baharu Lada di seluruh negara tahun depan.
Pengerusi MPB Larry Sng Wei Shien berkata pekebun kecil merupakan nadi dalam rantaian pengeluaran lada negara dan kerajaan komited membela nasib mereka dengan meneruskan bantuan berbentuk input pertanian, peralatan ladang, latihan dan khidmat nasihat di bawah skim seperti tersebut.
“Oleh itu, para pegawai (MPB) yang terlibat dalam pemberian bantuan hendaklah memulakan tugas mulai sekarang memaklumkan para pekebun berminat supaya mendapatkan borang permohonan dan penerangan lanjut berkaitan bantuan tersebut.
“Sebagai warga kerja MPB, anda memegang amanah dan bertanggungjawab memastikan segala dasar-dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dapat dilaksanakan sebaiknya bagi menjayakan agenda transformasi negara,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 dan sanbutan pra-Krismas MPB di sini, malam tadi.
Seramai 28 pegawai dan kakitangan MPB menerima APC itu manakala 11 orang lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) pada majlis berkenaan. – BERNAMA
Kepada pekebun kecil yang berminat, anda bolehlah download borang bantuan skim melalui link di bawah;
SINI atau melalui link ini http://www.mpb.gov.my/mpb2/index.php/my/perkhidmatan/bantuan-pertanian/borang-skim-bantuan.html