Hagra Minyak Sawit Mentah Meningkat RM2,600 Setan Tahun 2019

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah paras RM2,200 hingga 2,400 satu tan pada suku pertama 2019 dan mengukuh kepada RM2,400-RM2,600 satu tan pada suku kedua 2019, demikian menurut Sime Darby Plantation Bhd.

Timbalan Pengerusi Eksekutif/Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, berkata unjuran itu didorong oleh permintaan global yang dijangka meningkat pada separuh pertama tahun depan berikutan adanya beberapa perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami melihat minyak sawit mentah akan didagangkan tinggi pada separuh pertama 2019 berikutan permintaan tinggi menjelang persediaan sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

“Tiga bulan pertama 2019, minyak sawit dijangka mencecah paras RM2,200 hingga RM2,400 satu tan dan terus kukuh ke paras RM2,400-RM2,600 satu tan pada Mei dan Jun.

“Selain itu, perubahan iklim atau bencana alam seperti El Nino dan El Nina akan turut menyokong harga pasaran komoditi ini,” katanya pada sidang media keputusan suku ketiga tahun kewangan 2018 Sime Darby Plantation di sini, hari ini.

Harga minyak sawit mentah yang mencatatkan penurunan di bawah paras RM2,000 satu tan ketika ini menyebabkan panik dalam kalangan peserta industri.

Harga komoditi itu baru-baru ini berada pada paras RM1,700-RM1,800 satu tan, sama seperti yang dicatatkan lima tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan   4 Penyakit Utama Durian & Pengurusan Perosak Durian Yang Wajib Anda Tahu