LONDON – Sekeping gambar meloyakan yang menunjukkan seorang wanita merebus seluar dalamnya yang terkena darah haid di dalam cerek milik sebuah hotel mencetuskan kemarahan ramai netizen, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Gambar itu memaparkan sebuah cerek menggelegak bersama sepasang seluar dalam wanita di dalamnya. Air cerek itu pula bertukar warna menjadi keruh.
Gambar itu hadir bersama kapsyen menerangkan mengapa perbuatan itu dilakukan.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Australia atau New Zealand berdasarkan soket elektrik unik yang digunakan.
Pelakunya yang menyiarkan gambar itu di laman sosial berkata, dia menggunakan cara unik dan bersih tersebut untuk membersihkan seluar dalam dengan cepat ketika bercuti dan menginap di sebuah hotel.
Bagaimanapun, ramai netizen berang dan jijik melihat foto tersebut di laman Twitter.
Seorang pengguna Twitter berkata: “Kenapa kamu tidak membasuhnya di dalam sinki seperti manusia normal lain?”
“Si bodoh mana yang sanggup merebus seluar dalamnya di dalam cerek dan berbangga mengenainya di media sosial?” soal seorang lagi netizen.
Satu komen lain menyatakan: “Saya tidak akan membancuh teh menggunakan cerek hotel lagi selepas ini.” – Agensi