Penduduk Kecoh Selepas Lembu Disembelih, Bangun Dengan Tangkas Terus Berlari Diri

KUALA SELANGOR – Penduduk Kampung Ujung Permatang di sini gempar apabila seekor lembu korban yang telah disembelih tiba-tiba bangun semula sebelum melarikan diri sejauh 300 meter.


Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu berlaku semasa berlangsungnya majlis korban di Masjid Ahmadiah Kampung Ujung Permatang.

Ketua Kampung Ujung Permatang, Abdullah Kamaruddin berkata, lembu berkenaan salah seekor daripada lima ekor lembu korban di masjid berkenaan.

Katanya, kejadian sedemikian kali pertama berlaku ketika ibadah korban dijalankan di kampung tersebut.

“Sebaik ikatan pada lembu itu dibuka, haiwan tersebut terus bangun dan melarikan diri

“Orang ramai kemudiannya berjaya menangkap lembu itu semula selepas mengejar sejauh 300 meter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas beliau, lembu itu kemudiannya diikat semula di tempat sembelih sebelum proses melapah daging dilakukan pihaknya.

Video kejadian itu berdurasi 1 minit 11 saat kemudiannya menjadi tular selepas dimuat naik di laman Facebook rasmi Kuala Selangor Official dikongsikan 134 pengguna dan ditonton sebanyak 6, 710 kali.

Mengulas mengenai komen netizen terhadap tukang sembelih yang tidak mahir dalam penyembelihan lembu itu, Abdullah menegaskan punca kejadian itu disebabkan masalah kekurangan tali untuk mengikat lembu.

“Sebaik lembu disembelih, petugas beranggapan haiwan itu akan mati sebelum membuka tali ikat dengan cepat,” katanya. – K! ONLINE