Sejak minggu lalu, sekeping wang kertas RM10 telah menjadi tular kerana mempunyai nota ringkas padanya.
Foto wang kertas RM10 yang dikongsikan oleh pemilik akaun Hyza Ezany itu tertulis nota bahawa ia adalah wang terakhir pemberian ayahnya pada tarikh 21/5/2010 pada jam 7.10 pagi.
Menerusi status di Facebooknya, Anne Malar Yesudass memberitahu bahawa wang RM10 itu adalah miliknya sebelum ia hilang selepas dompetnya dicuri pada 1 September 2018.
“Saya sudah jumpa individu yang jumpa duit saya, terima kasih sangat-sangat kepada semua yang sudi kongsi penemuan duit ini.
“Ia cukup bermakna dalam hidup saya. Bapa memberi duit ini kepada saya pada 21 Mei 2010, ketika itu saya berusia 17 tahun.
“Bapa beri duit ketika hendak pergi ke sekolah jam 7.10 pagi, namun sayangnya tarikh itu adalah kali terakhir dia beri duit dan hantar saya ke sekolah. Bapa terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Saya berasa sedih kerana itu satu-satu duit dan barang peninggalan dari bapa untuk saya. Tidak kisah jika dompet hilang tetapi jangan ambil duit itu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Hyza Ezany di atas perkongsian itu. Terima kasih tidak cukup untuk balas jasanya tetapi apa-apa pun terima kasih banyak-banyak.
“Terima kasih kepada semua yang sudi membantu kongsi status Hyza Ezany. Terima kasih sekali lagi. Saya sayang ‘appa’, saya rindu dia sangat-sangat,” katanya.
I found the person holding on to this now… Tq so so so so so so so so so much dear all…. It was my most valuable…
Posted by Anne Malar Yesudass on Sunday, 1 December 2019
Foto wang kertas RM10 yang tular sejak hujung minggu lalu sehingga kini mendapat lebih 25 ribu perkongsian di Facebook.
Mencari pemilik tulisan atas duit ni.. Nak bg free je kpd pemiliknya!! Tolong sy share hingga jumpa ya!! Terimakasih…
Posted by Hyza Ezany on Saturday, 30 November 2019