Mandi Tanpa Seurat Benang Dalam Kolam, Lelaki Ini Menderita Gara-Gara Kemaluannya Dimasuki Lintah Dan Merosakkan Beberapa Organ

Phnom Penh: Gara-gara berendam dalam kolam dipenuhi lintah dan serangga, seorang lelaki warga emas di Kemboja menderita sakit selepas darah organ dalamannya dihisap lintah terbabit.

Doktor mengesahkan pesakit itu tidak berpakaian ketika berendam dalam air kolam terbabit tanpa menyedari lintah memasuki badannya melalui alat sulit.

Warga emas itu mengalami sakit pada alat sulitnya ketika cuba membuang air di tandas rumahnya di sini.

Pasukan perubatan menggunakan sejenis kamera kecil dan mendapati haiwan penghisap darah itu ‘membuat laluannya’ dalam salur pundi kencingnya.

Imej imbasan menunjukkan parasit itu mencederakan beberapa organ dalaman lelaki itu dengan gigi tajamnya.

Pasukan itu menggunakan sejenis alat dinamakan bipolar resectoscope untuk membunuh haiwan itu sebelum mengestraknya.

Namun, proses berkenaan rumit berikutan saiz lintah itu mengembang selepas menghisap 500 mililiter darah lelaki itu.

Susulan kejadian, doktor di Hospital Calmette di sini, memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati apabila berenang dalam kolam terutama semasa musim hujan.

“Air kolam itu dipenuhi lintah dan serangga kerana musim hujan.

“Rujuk doktor segera jika anda sakit dalam badan,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Daily Mirror.

Lelaki itu kini dilaporkan stabil dan masih dalam pemantauan serta dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan semalaman di hospital terbabit.

kredit harian metro