Jana RM3000 Sebulan, Abdul Halim Kongsi Tips Tanam Pokok Strawberry Di Tanah Rata

Berbekalkan pelbagai teknologi penanaman sempurna khususnya kepakaran daripada Jabatan Pertanian membuktikan pokok strawberi kini mampu ditanam di kawasan bertanah rendah dan bukan lagi terhad di Cameron Highlands sahaja.


Malah, kesabaran dan tidak mudah putus asa mendorong pesara, Abdul Halim Mohammad, 57, mengusahakan tanaman strawberi di Kampung Jalan Teluk Ipil, Nibong Tebal.

Beliau yang pernah menjawat Penolong Pegawai Pertanian mempunyai kelebihan ketika menjalankan pelbagai kajian daripada bidang berkaitan khususnya dalam penanaman strawberi.

Abdul Halim memulakan projek tanaman strawberi pada Disember 2015 yang pada peringkat awalnya secara suka-suka, tetapi kini ia mula menunjukkan potensi besar dalam kalangan pengemar buah berkenaan.

“Saya mengeluarkan modal RM10,000 untuk menyediakan benih, peralatan serta membina rak dan kini mampu menghasilkan antara 1,000 hingga 1,200 pasu pokok strawberi.

“Tanaman strawberi ini diusahakan bersebelahan dengan rumah dan ia agak sensitif serta menerima sinar matahari lebih kurang enam hingga lapan jam sehari,” katanya.

Abdul Halim berkata, tanaman strawberi perlu menerima bekalan air secukupnya bagi membantu mengurangkan kerosakan pada daun dalam proses tumbesarannya.

ABDUL Halim sedang memeriksa pokok buah strawberi yang ditanam berhampiran rumahnnya. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar

Beliau berkata, tanaman strawberi mulai bertambah dengan munculnya sulur dan dari ujung sulur itu akan tumbuh tanaman strawberi baru dari akarnya yang dimasukkan di dalam pasu kecil.

“Tanaman strawberi akan mulai berbunga dan berubah menjadi buah dalam tempoh tiga bulan sekali gus boleh memetik buah yang sudah matang.

“Antara spesies ditanam termasuk jenis festival, Carmorosa dan K Pop iaitu benih yang diperoleh daripada Korea Selatan dan amat digemari orang ramai,” katanya.

Abdul Halim berkata, buah strawberi berwarna merah dengan bintik-bintik kuning kelihatan menawan dan walaupun tidak semua jenis strawberi manis, tetapi ramai yang tetap menyukainya.

Beliau berkata, selain boleh dimakan begitu saja serta mempunyai aroma dan rasa sedap, ia turut digunakan sebagai perasa tambahan dalam makanan dan minuman, selain turut digunakan dalam menangani pelbagai penyakit seperti kanser, angin ahmar dan mampu memulihkan proses penuaan.

“Hasil strawberi saya terus mendapat perhatian pelanggan termasuk dari Selangor dan Perlis untuk mendapatkan bekalan dijual pada harga RM20 bagi pasu kecil.

“Alhamdulillah, hasil jualan pokok strawberi ini mampu menjana pendapatan sampingan dianggarkan kira-kira RM3,000 sebulan dan saya puas melihat kejayaan ini selepas beberapa tahun mencubanya,” katanya.

Selain mengusahakan tanaman strawberi, Abdul Halim turut mengusahakan madu kelulut asli yang turut mendapat sambutan pelanggan – Harian Metro

Klik sini => 7 Tip Mudah Hasilkan Buah Strawberi Sedap Untuk Iklim Tanah Rendah Malaysia

Sebenarnya, ada spesies strawberi yang sesuai untuk ditanam di tanah rendah Malaysia yang tidak memerlukan kaedah rumah hijau pun. Anak benihnya yang mudah didapati secara online juga menyebabkan tanaman ini kian menjadi popular. Namun anda perlu pastikan perkara-perkara tersebut perlu dipatuhi bagi menjadi habitat sempurna untuk tanaman ini:

1. Medium/tanah
Strawberi memerlukan medium tanaman yang peroi dan bersaliran baik. Yang menjadi keutaman ialah medium tersebut mampu memegang kelembapan dalam jangka masa yang lama. Kebanyakan nurseri menggunakan sabut kelapa yang telah dirawat sebagai medium tanaman tanpa tambahan bahan lain. Ini kerana sifat sabut kelapa yang ringan serta mampu mengekalkan kelembapan amat sesuai dengan kondisi pokok strawberi. Secara tidak langsung sabut tersebut berupaya menjadi baja kompos.

2. pH Medium
Pokok strawberi memerlukan pH yang seimbang dengan keperluannya. Untuk mendapatkan saiz buah yang optimum, pH ideal untuk tanaman ini adalah antara 5.5 hingga 7.

3. Pencahayaan
Pokok strawberi memerlukan pencahayaan sekurang-kurangnya 4 jam sehari untuk iklim malaysia. Berbanding di negara beriklim sejuk, strawberi perlukan pengamatan cahaya minimum 6 jam sehari. Namun tidak terlalu terus. Letakkan di kawasan separa teduhan. Oleh itu, strawberi sesuai ditanam di ruang anjung kediaman.

4. Keperluan saiz kawasan
Pokok strawberi tidak suka tumbuh secara berhimpit. Ia akan mengakibatkan kesukaran penghasilan bunga dan secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil buah. Hal ini terjadi disebabkan apabila pokok terlalu berhimpit, bahagian bawah atau pangkal pokok yang menghasilkan kudup bunga mengalami kesukaran menerima cahaya matahari. Oleh itu, jarak bagi setiap tanaman perlu dikekalkan sekurang-kurangnya 20 inci setiap satu.

5. Siraman
Jika anda menggunakan sabut kelapa sebagai medium tanaman, penyiraman boleh dilakukan apabila medium kelihatan kering atau jika perlu. Perlu diingat,strawberi memerlukan medium tanaman yang sentiasa lembap bukan basah tau. Jika terlalu banyak air, ia akan merosakkan akar serta menggalakkan pertumbuhan kulat. Siraman paling perlu dijaga ketika buah sedia dipetik. 3-5 hari sebelum dipetik, penyiraman perlu dikurangkan untuk mengelak buah masam.

6. Baja
Pokok strawberi paling sesuai dengan baja cecair kerana ia lebih mudah diserap. Tambahan pula, sistem akar strawberi yang terlalu pendek sukar menyerap atau mencapai baja jenis slow release. Baja kimia yang sesuai digunakan untuk strawberi adalah larutan 12:12:12 untuk tujuan tumbesaran pokok manakala larutan 15:15:15 digunakan untuk penggalak buah. Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Namun AWAS! Baja kimia bersifat panas dan mudah merosakkan akar pokok. Oleh itu, penggunaan baja dan racun kimia perlu minima.

Seeloknya, pokok strawberi sesuai menggunakan baja organik. Walaupun produktivitinya tidak optimum, jangka hayat tanaman lebih tahan lama berbanding penggunaan baja kimia.

7. Pemangkasan
Daun pokok strawberi perlu dipangkas setiap bulan. Sebaiknya, 7-9 daun sahaja yang dibenarkan bagi setiap pokok. Ini kerana, jika daunnya terlalu banyak penghasilan buah akan terganggu. Ia disebabkan oleh permukaan bawah batang pokok yang menghasilkan daun, sulur dan bunga terlindung dari cahaya matahari. Lebih kerap anda memangkas, lebih banyak sulur dan buah yang dapat anda hasilkan. Selain itu juga, bilangan sulur perlu dikurangkan untuk membolehkan hasil buah lebih banyak – Impiana.my

betasus giriş

blade tipster