“Kami Terserempak Dengan Binatang Buas Ini (Macam) Anaconda.. Ia Meluru Ke Arah Kami.. Kami Terpaksa Lakukan..”

SRI AMAN: Seekor ular sawa berukuran sembilan meter dengan anggaran berat lebih setengah tan terpaksa dibunuh kerana dikhuatiri mengancam nyawa sekumpulan petugas kaji bumi ketika melakukan kajian di Hutan Tanjung Lutong, Lingga dekat Sri Aman, Sarawak.


Menurut ketua kumpulan tersebut, Marjuki Muhi ketika dihubungi reptilia itu ditemui kira-kira 20 meter dari laluan harian ke lokasi kajian mereka.

Bimbang akan keselamatan, kumpulan itu terpaksa mengambil tindakan membunuh haiwan tersebut kerana tidak mempunyai pilihan lain.

“Di sinilah kami terserempak dengan binatang buas ini, spesies ular ini boleh dikatakan (macam) anaconda yang dianggarkan mencecah berat hampir setengah tan di mana ia meluru ke arah kami dan di jarak 50 meter ia terus mendiamkan diri mungkin pada ketika itu ia terserempak dengan kumpulan kami.

“Mungkin ia berfikir sama ada menyerang ataupun tidak, jadi kami sekumpulan berpakat untuk menghalau atau membunuh binatang tersebut jika tidak bunuh kami fikir kami merasakan kami terancam kerana setiap hari kami menggunakan kawasan ini sebagai laluan harian kami untuk ke tempat kerja,” kata Marjuki ketika ditemui.

Baginya nyawa mereka lebih penting meskipun sedar tindakan membunuh haiwan berkenaan adalah dilarang kerana ia merupakan spesies terancam.

Pada Isnin lalu tular video seekor ular sawa gergasi ditemui oleh sekumpulan sembilan lelaki di dalam hutan di Lingga.

Susulan itu Pengerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) Datu Len Talif Salleh mahu siasatan dijalankan berhubung kejadian tersebut.

Beliau dalam kenyataannya berkata ular sawa merupakan spesies terancam, malah perlu diawet sekiranya ditemui mati.

Malah ular bersaiz luar biasa tersebut mungkin jarang ditemui di Malaysia.