“Kamu Tidak Malu Jika Nanti Bila Sudah Tua Anak-Anak Lihat Video Yang Tular Ini?” 2 Lelaki Mengaku Bersalah Bergaduh Di Tol

DUA lelaki yang bergaduh di Plaza Tol Bukit Kiara Kuala Lumpur baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamad Fazrien Mohd Ziear dan Ng Whye Hoong yang membuat pengakuan bersalah.

“Sepatutnya kamu sabar dan menjadi contoh baik kepada orang bukan Islam. Isteri kamu pula patut baik pulih keadaan dan bukan biarkan suami bergaduh.

“Kamu pula Ng (Whye Hoong) sudah matang dan sepatutnya boleh berfikir. Kamu tidak malu jika nanti bila sudah tua anak-anak lihat video yang tular ini?” tambah beliau lagi.

Jika gagal bayar denda itu, Mohamad Fazrien, yang bekerja sendiri dan Pengurus Teknologi Maklumat, Whye Hoong boleh dikenakan penjara sebulan.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di tempat awam iaitu di Plaza Tol Bukit Kiara, dekat Kuala Lumpur, 4.30 petang, 17 September lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali.

Selasa lalu, tular di media sosial memaparkan dua lelaki bertumbuk di Plaza Tol Bukit Kiara sehingga cedera satu sama lain.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang memandu van dalam perjalanan dari Wangsa Maju ke Petaling Jaya, Selangor.

Setibanya di Kerinchi Link, sebuah kereta yang dipandu seorang lagi lelaki memotong van terbabit sebelum menekan brek di hadapan kenderaan itu.

Rakaman itu dipercayai dibuat oleh isteri kepada seorang daripada pemandu berkenaan.

Difahamkan Mohamad Fazrien ada membuat kutipan wang melalui laman Facebook miliknya bagi membayar denda.

Artikel Berkaitan   “Adik Saya OKU, Kakinya Lumpuh. Kalau Tolak Pun Tumbang…Mengapalah Kejam Sangat Pukul Dia Hingga Mati”