Kematian Pelakon Black Panther Gara-Gara Barah Usus, Dr Amalina Dedah Tanda-Tanda Awal Yang Kita Boleh Tahu

KUALA LUMPUR, 1 Sept — Kematian pelakon utama Black Panther akibat barah usus pada usia muda mengejutkan peminat filem Hollywood dan Marvel.


Chadwick Boseman, 43, meninggal dunia Jumaat minggu lalu di Los Angeles, Amerika Syarikat selepas berjuang melawan penyakit yang dihadapinya sejak empat tahun lalu.

Mengambil iktibar perkara itu, pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri berkata walaupun kanser usus biasanya dihidap pesakit warga tua, ia juga boleh menyerang individu berumur bawah 50 tahun.

Katanya ia biasa terjadi di kalangan lelaki dan penyakit kedua biasa terjadi di kalangan wanita Malaysia.

Dianggarkan seorang daripada 10 orang individu dikesan menghidap barah usus sebelum mencapai umur 50 tahun.

“Antara simptom adalah sembelit, dubur berdarah, kembung perut, najis berdarah, dan cirit birit,” catatnya di Twitter.

Menurut Dr Amalina, anda boleh mengesan tanda-tanda barah usus dengan beberapa cara, antaranya mengetahui sejarah kesihatan keluarga, perhatikan sebarang tanda-tanda awal dan segera rujuk kepada doktor jika merasa sesuatu tidak kena.

Katanya sebagai langkah mencegah, beberapa amalan hidup perlu diubah, antaranya mengekalkan berat badan sihat, rajin bersenam, mengambil makanan sihat seperti bijirin, sayur, dan buah-buahan.

“Kajian menunjukkan diet berasaskan tanaman boleh mengurangkan risiko barah,” katanya.

Selain itu, katanya pengambilan makanan segera dan proses yang mengandungi lemak, kanji, dan gula yang tinggi perlu dihadkan.

kredit projekmm