
Baru-baru ini, pelakon Faizal Hussein meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat lalu.
Walau bagaimanapun, pelakon berusia 52 tahun itu meluahkan rasa terkilan dan sedih apabila namanya sering digugurkan bagi menjayakan drama atau filem kerana bayaran yang dikenakan disifatkan terlalu tinggi.
“Selalunya filem-filem hebat memang akan sampai kepada saya dahulu untuk tawaran tetapi bila dengar harga yang saya minta, mereka akan cari pelakon lain.
“Baru-baru ini pun nama saya sekali lagi digugurkan daripada membintangi sebuah filem besar. Semuanya sebab harga yang saya minta.
“Kalau nak tahu, selepas jumpa penerbit filem itu, saya dah beli pistol palsu dan berlatih depan cermin… duit pun dah keluar untuk beli persediaan itu. Tapi sedihnya nama digugurkan.
“Saya juga jarang nampak di TV disebabkan hal-hal sebegini… kalau saya minta lebih, confirm saya akan terus hilang dari industri selepas ini,” katanya.
Menurut Faizal lagi, dia turut mempersoalkan mengapa penerbit memilih bagi membayar pelakon Syafiq Kyle walaupun aktor tersebut mempunyai nilai bayaran yang sama sepertinya.
“Kadang-kadang mereka ini tak tahu bagaimana cara saya bekerja dengan komitmen dan begitu banyak usaha yang saya akan lakukan untuk membawa satu-satu watak itu. Mereka tak hargai!
“Saya bukan muncul dalam drama setiap tahun pun, hanya dalam tempoh dua tahun sekali sahaja. Kenapa bayaran saya sama dengan Syafiq Kyle sedangkan saya dah berlakon lagi lama daripada dia?” ujarnya.
Sumber : mStar Online