Kerani Wanita Ini Makan Di Restoran 24 Jam Di Sini, Sekali Baru Perasan Dalam Ayam Ada Ulat Bergerak

SABAK BERNAM – Seorang kerani wanita terkejut apabila ayam goreng yang dimakannya di sebuah restoran 24 jam di sini malam tadi mengandungi ulat.


Kejadian berlaku pukul 11 malam ketika wanita hanya mahu dikenali Chris, 30, menikmati makanan bersama suami dan dua lagi rakannya.

Menurut Chris, kejadian itu disedari sebaik dia yang berkongsi ayam goreng bersama suaminya selesai menjamah ayam goreng berkenaan.

“Sewaktu kami bersembang tiba-tiba tekak saya loya selepas ternampak banyak ulat hidup keluar dari tulang ayam yang baru dijamah.

“Serentak itu, saya kemudiannya memanggil pengurus restoran bagi mengadu hal tersebut namun seolah-olah disalahkan kerana memilih ayam berulat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Chris, dia yang kemudiannya mengalami cirit-birit sebaik tiba di rumah kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Ujar wanita itu, hasil pemeriksaan mendapati saya disahkan mengalami keracunan makanan berpunca daripada makanan tercemar.

“Sehubungan itu, saya telah menghantar surat aduan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam menerusi laman Sistem Pengurusan Aduan Awam supaya tindakan segera dapat dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di laman sosial Facebook ‘I Love Sungai Besar’ dan mendapat reaksi pelbagai daripada para pengguna terhadap peristiwa yang menimpa Chris tersebut. – K! ONLINE