SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengarahkan sebuah restoran di Teluk Kemang ditutup dua minggu bermula hari ini berikutan pelanggan menemui ulat dalam hidangan daging ayam.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali, berkata arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati ia juga beroperasi dalam keadaan kotor.
“Pemeriksaan mendapati tahap kebersihan sebanyak 62 peratus dan premis berkenaan diarah tutup selama dua minggu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Selain itu, empat notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM),” katanya dalam kenyataan di sini.
Hari ini tersebar di laman Facebook mengenai kejadian seorang pelanggan mengamuk di sebuah restoran berikutan ayam yang dimakan itu sudah berulat. – BERNAMA