Sedapnya Ikan Siakap Rebus Thai perkongsian saudari Zat Hernani ni. Lengkap pedas, masam, masin dan manis. Memang cukup rasa. Menurut beliau lagi, nak masak resipi ni cukup mudah. Malah ada 2 cara yang boleh anda cuba. Pertama, anda boleh kukus atau rebus ikan bersama bahan-bahan kuah atau boleh masak ikan secara berasingan dengan kuahnya. Memang kecur liur dibuatnya!
Oh, ada petua. Untuk hasilkan rasa Ikan Siakap Rebus Thai yang lebih enak, masukkan jus perahan limau nipis di akhir masakan. Barulah kuah rasa tidak pahit. Bestkan? Jom cuba!
CARA MASAK IKAN SIAKAP REBUS ALA THAI
BAHAN-BAHAN (kuantiti boleh ubah ikut cita rasa):
- 2 ekor ikan siakap – dibersihkan
- 8 ulas bawang putih – kisar kasar
- 10-15 biji cili merah dan hijau – kisar kasar
- 6-8 biji tomato ceri
- 2-3 biji limau nipis – ikut masam yang disukai
- 2 tangkai daun ketumbar
- Kicap cair
- Mushroom sauce
- Sos ikan
- Air asam jawa
- Serbuk limau nipis
- Garam secukup rasa
- Gula kabung thai
- Gula secukupnya
- Mushroom seasoning
CARA MEMASAK:
1. Rebus ikan bersama kicap cair. Masukkan juga akar ketumbar. Jika juga kukus ikan ini kerana rasanya lebih enak.
2. Bila ikan sudah masak, toskan. Angkat dengan berhati-hati supaya isi ikan tidak terlerai. Letak dalam pinggan hidangan.
3. Ambil air rebusan ikan tadi dan campurkan dengan cili merah, cili hijau & bawang putih yang dikisar kasar. PERINGATAN: buang biji cili supaya tidak memudaratkan kesihatan.
4. Masukkan sos ikan thai. Boleh sesuaikan jumlahnya ikut cita rasa.
5. Kemudian masukkan mushroom sauce. Sos cendawan ni sangat wangi. Biasanya orang Thailand akan guna ketika pesta makan sayur.
6. Masukkan air asam jawa.
7. Masukkan kesemua bahan-bahan perasa. Jika mahu rasa lebih sedap, boleh lebihkan bahan-bahan ikut selera masing-masing.
8. Tambahkan tomato ceri, daun ketumbar dan jus limau nipis ikut tahap kemasaman yang anda suka.
9. Kuah Thai Pedas siap disediakan.
10. Tuang kuah ke atas ikan.
11. Ikan Siakap Rebus Thai sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Zat Hernani