Peguam Dedah Alasan Ramai Pasangan Muda Bercerai Gara-Gara Hal Remeh

KAJANG: Agak mengejutkan apabila majoriti pasangan yang berpisah yang dikaitkan dengan alasan remeh adalah golongan muda berusia antara 25 hingga 30 tahun yang membabitkan usia perkahwinan kurang daripada lima tahun.


Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan tuntutan cerai oleh pihak suami.

Menurut Musa, antara alasan yang kedengaran lucu, tetapi menjadi punca perceraian adalah sikap pasangan seperti tidak mencuci pakaian atau merendamnya terlalu lama dalam baldi hingga berbau.

Katanya, alasan lain diterima adalah berpisah disebabkan tabiat pasangan yang taasub dengan permainan video dan leka bermain telefon bimbit.

“Pelbagai alasan diberikan pasangan, tetapi trend terkini menunjukkan punca perceraian berkait rapat dengan penggunaan aplikasi di telefon pitar.

“Antaranya Facebook (FB), Instagram (IG), WhatsApp, Messenger dan lain-lain lagi.

“Kewujudan teknologi ini juga menyebabkan suami memilih melafazkan cerai dengan cara yang lebih moden iaitu menerusi medium berkenaan,” katanya.

Musa berkata, biarpun lelaki berhak menceraikan isteri, mereka seharusnya berfikir panjang sebelum mengambil keputusan berkenaan.

“Ada sebab mengapa Allah SWT beri kuasa talak kepada suami dan satunya daripadanya adalah kerana lelaki adalah pemimpin dan lazimnya tidak bertindak mengikut emosi.

“Namun, situasi sekarang berbeza kerana segelintir lelaki pula dilihat mengikut emosi sedangkan seburuk mana pun isteri, suami sepatutnya bertahan.

“Jika mahu bercerai sekalipun, biarlah mengikut prosedur yang betul, bukannya dengan melafazkan talak di luar mahkamah,” katanya.

Menurut Musa, hal itu mungkin berlaku disebabkan kuasa menjatuhkan talak adalah hak mutlak suami dan kecenderungan segelintir lelaki melihat keburukan pasangan mereka.

Katanya, faktor lain adalah kerana kurangnya pengalaman dalam mengendalikan masalah atau konflik rumah tangga hingga memilih untuk berpisah.

“Usia perkahwinan yang masih baru menyebabkan mereka belum mencapai tahap kematangan dalam rumah tangga.

“Berdasarkan rekod persatuan dan aduan diterima, kes ini lazimnya membabitkan lafaz talak yang dijatuhi di luar mahkamah.

“Setiap kali aduan sampai ke pengetahuan persatuan, kita akan meminta ahli (pengamal undang-undang syariah) untuk mengendalikan kes,” katanya.

Menurut Musa, ahli persatuan iaitu peguam syarie yang mengendalikan kes akan mengesyorkan pasangan terbabit rujuk semula.

“Segelintir pasangan lembut hati, tetapi ada juga tetap dengan pendirian mereka,” katanya yang berpengalaman sebagai peguam syarie sejak 1999.

Jelik cara isteri berjalan

Kuala Lumpur: “Suami ceraikan saya selepas tiga minggu kami bernikah kerana kononnya dia jelik dengan cara saya berjalan yang menghentak kaki.”

Itu yang berlaku terhadap Ilyana (bukan nama sebenar), 28, yang dicerai dengan talak satu atas alasan remeh.

Katanya yang berasal dari Gombak, dia terkejut apabila suami melafazkan talak sedangkan mereka baru tiga minggu berkahwin.

“Lebih luluh, suami melafazkan cerai dengan satu panggilan telefon saja,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Di samping itu, menurut Ilyana, dia perasan dengan perubahan suaminya yang bersikap dingin selepas tiga hari bernikah.

“Bagaimanapun, saya sangka dia mungkin penat dengan majlis perkahwinan kami. Saya ada bertanya kepadanya namun dia seolah-olah mengelak untuk berbual.

“Sebagai hadiah perkahwinan, saya cuba untuk membuat kejutan kepada suami dengan menempah percutian di Maldives,” katanya.

Bagaimanapun, semuanya musnah apabila lelaki itu menghubunginya sebelum melafazkan cerai.

“Saya mengenali suami selama tiga bulan sebelum bertunang selama setahun. Sepanjang pertunangan, suami kerap memuji saya pandai bergaya, cantik dan pelbagai lagi kata-kata manis diungkapkannya.

“Sepanjang tempoh berkenaan, dia tidak pernah mengatakan jelik dengan gaya saya berjalan,” katanya ketika dihubungi.

Keruntuhan rumah tangga pada Ogos 2019 menyebabkan Ilyana kemurungan, malah diberi cuti lima bulan oleh majikan baginya mengikuti kaunseling.

Tak pelawa suami berswafoto

Kuala Lumpur: Menceraikan isteri kerana mengambil gambar swafoto tanpa mempelawanya.

Itu satu daripada kes perceraian berpunca daripada alasan remeh yang pernah dikendalikan pengamal undang-undang syariah, Muhammad Shamsyuar Jasmim, 28, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam bidang guaman.

Menurut Muhammad Shamsyuar, kes berkenaan berlaku pada 2018 dan mengejutkannya kerana dia belum pernah mengendalikan tuntutan perceraian sebegitu.

“Setiap pasangan yang berpisah mempunyai alasan tersendiri. Secara umumnya, ia kerana tiada lagi persefahaman.

“Namun ada juga perpisahan berlaku disebabkan alasan tidak munasabah atau remeh seperti kes ini,” katanya.

Menurut Muhammad Shamsyuar, lazimnya, perpisahan disebabkan alasan sebegitu berlaku selepas suami atau isteri tidak dapat lagi bertahan dengan pasangan masing-masing.

Meskipun ada ruang untuk memperbaiki hubungan, kebanyakannya nekad berpisah kerana menganggap ia jalan terbaik.

“Kebiasaannya, pasangan terbabit dihimpit perasaan penat dalam sabar iaitu hanya mampu bertahan untuk satu hingga dua tahun pertama perkahwinan.

“Berikutan tekanan dialami, mereka memendam rasa dan akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah walaupun alasannya tidak munasabah,” katanya.

kredit harian metro