Pembatalan 30% Monopoli Beras Negara Beri Kelegaan Buat Petani Kecil?

Cadangan buka 30 peratus monopoli Bernas dibatal?

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka membatalkan cadangan untuk membuka 30 peratus monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas).


Khabarnya, ini kerana cadangan itu tidak mendapat ‘restu’ daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pembatalan cadangan itu mengambil kira aspek jaminan keselamatan bekalan makanan negara dan harga beras pada masa depan.

Selain itu, perkara yang paling diambil kira, apakah akan terjadi kepada pengeluar-pengeluar padi tempatan jika monopoli itu dibuka.

“Jika dibuka (monopoli) sudah tentu tidak adil kepada Bernas untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang dipikul sekarang terutama membeli pengeluaran petani tempatan.

“Tetapi siapa pula yang sanggup mengambil peranan Bernas ini,” kata sumber berkenaan.

Lantaran itu, menurut sumber, cadangan membuka 30 peratus monopoli Bernas bukan semudah yang disangkakan.

Lagipun, selama memegang konsesi beras, harga makanan ruji itu masih rendah dengan 60 peratus adalah padi tempatan.

 

Ia juga mengambil kira keberkesanan peranan Bernas dalam membekalkan beras kepada negara dan pada masa sama mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi kepada para petani.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Asas Tani bercadang untuk membuka monopoli Bernas sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada pemain industri padi dan beras yang lain sebelum konsesi syarikat itu tamat sepenuhnya pada 2021.

Cadangan itu dilihat sebagai kaedah ‘soft landing’ sebelum industri berkenaan dibuka sepenuhnya tanpa monopoli Bernas.

Kertas cadangan mengenai model baharu bagi menamatkan monopoli Bernas dibentangkan ke Kabinet dibentang pertengahan bulan Julai dan  siap pada Ogos l4lu.

Bagaimanapun, sumber tidak menolak kemungkinan berlaku penambaikan di dalam sistem pengagihan dan aspek-aspek perniagaan. – MalaysiaGazette