
JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor mengesahkan menerima maklumat mengenai kehadiran seekor harimau belang di sebuah ladang tanaman bercampur di Mersing pada 1 Mac lalu.
Pengarahnya, Salman Saaban berkata, pihaknya akan menghantar kakitangan ke lokasi kejadian dalam tempoh terdekat.
“Pihak jabatan ada terima maklum mengenai perkara ini, tindakan tinjauan dan pemantauan sedang dijalankan dengan bantuan pihak ladang berkenaan.
“Pihak jabatan juga bercadang untuk menangkap harimau terbabit berikutan faktor keselamatan pekerja serta harimau itu sendiri.
“Kemungkinan habitat haiwan itu terganggu dan kesukaran mencari makanan, tetapi perlakuan yang ditunjukkan (menerusi video) harimau agak pelik kerana ia tidak takut dengan kehadiran manusia.
“Itu secara tidak langsung akan memberi ancaman ke atas harimau itu sendiri yang memudahkan ia diburu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, khidmat nasihat kepada pihak ladang turut diberikan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu berani untuk mengambil tindakan sendiri atau cuba mendekati harimau belang itu.
Terdahulu, tular video berdurasi 3.01 minit menunjukkan kelibat haiwan itu ketika orang awam yang berada di kawasan sekitar menyuluh cahaya di ladang berkenaan.
Haiwan itu bagaimanapun hanya melintasi dan tidak bertindak agresif terhadap orang awam yang hadir bersama kenderaan di kawasan itu.