Penerbangan Arab Saudi Dibekukan, Ibu Ini Tertekan Anak Tidak Boleh Pulang Ke Malaysia Pada Hujung Bulan Ini

“SAYA bimbang dengan keadaan anak di sana memandangkan tiada sesiapa boleh membantunya yang dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat pulang ke tanah air,” kata ibu kepada Muhammad Hasbul Wafi Roslan, 17, yang berada di Makkah, Arab Saudi berikutan negara itu menggantung penerbangan antarabangsa selama dua minggu bermula Ahad lalu.

Ibu Muhammad Hasbul, Zahanim Bidain, 56, berkata, anak tunggalnya itu bersama 14 peserta Program Halaqah Al-Quran selama 90 hari di Masjidil Haram berangkat ke Makkah pada 1 Januari lalu.

“Mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada 28 Mac ini dan saya bersama suami, Roslan Ibrahim merancang menjemputnya di sana sambil menunaikan ibadah umrah yang dijadualkan berangkat esok.

“Namun, larangan penerbangan antarabangsa menyebabkan perancangan itu tidak kesampaian dan anak tidak dapat menaiki penerbangan pulang ke tanah air,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahanim berkata, anaknya bersama peserta lain dari sebuah pusat tahfiz di Masjid Tanah, Melaka juga ada membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air yang sepatutnya berlepas pada semalam namun ia juga dibatalkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Muhammad Hasbul sudah teruja untuk pulang namun selepas dimaklumkan penerbangan itu dibatalkan dia berasa sedih. Malah, sebelum ini dia kerap kali memaklumkan kepada saya dirinya tertekan dan kesal sebab terlalu mahu pulang ke tanah air untuk bertemu keluarga.

“Keadaan dia dalam keadaan tertekan itu menyebabkan saya sebak setiap kali memikirkan nasibnya di sana tanpa ada sesiapa untuk membantunya terutama ketika penularan wabak Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pihak konsulat Malaysia di Jeddah yang banyak membantu perjalanan anaknya bersama peserta lain di sana.

Artikel Berkaitan   “Kau Memang Menantu Syaitan!” Lelaki Ini Hentak Ibu Mertua Sendiri Sampai Mati Kemudian Merodok Kemaluannya Dengan Gunting

“Saya difahamkan pihak konsulat mahu membawa mereka yang berada di Makkah untuk tinggal di Jeddah dalam masa terdekat sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil inisiatif untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi selain negara lain seperti Itali dan Iran,” katanya yang juga suri rumah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Wiya Travel Akmal Akram Ismail berkata, terdapat 11 lagi individu yang menggunakan pakej perjalanan pihaknya masih tidak dapat pulang ke tanah air.

“Sekarang, kami dalam proses memindahkan jemaah untuk ke hotel di Jeddah atas arahan pihak Konsulat Malaysia di Jeddah.

“Jika dalam masa terdekat kami mendapat maklum balas daripada syarikat penerbangan untuk penerbangan tambahan bagi membawa pulang jemaah, kami akan menggunakan penerbangan itu,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan Arab Saudi menggantung semua penerbangan antarabangsa selama dua minggu bermula Ahad lalu bagi membendung penularan Covid-19.

kredit harian metro