Permintaan Tinggi, Yazid Yahya Jana RM5400 Sebulan Ternak Ikan Puyu

BERMULA sekadar suka-suka memelihara ikan puyu di dalam kolam, Yazib Yahya, 45, akhirnya serius menjadikan projek ternakan ikan air tawar tersebut sebagai sumber pendapatannya.

Menurutnya, keputusan mengusahakan projek ternakan ikan darat itu diambil kerana terdapat permintaan tinggi terhadap ikan air tawar seperti puyu, patin dan haruan lantas mengikuti pelbagai jenis kursus pertanian dan penternakan termasuk pembenihan, penjagaan dan ternakan pelbagai ikan air tawar.

Yazib berkata, sebelum ini dia pernah mengusahakan kebun sayur namun sudah pecah kongsi dan mengambil keputusan mencari alternatif lain dalam bidang penternakan ikan pula.

“Akhirnya, saya memilih penternakan ikan puyu baka Malaysia kerana penjagaannya mudah dan tidak memerlukan perhatian yang serius selain memastikan kolam terhindar daripada pemangsa.

“Bermula dengan 10,000 anak ikan kini sudah mencecah 25,000 ekor puyu dewasa berusia enam bulan dan sudah boleh dijual peringkat umur puyu sudah matang pada harga RM18 sekilogram,” katanya ketika ditemui di kolam projek penternakannya di Felda Jengka 7 di sini, semalam.

Menurutnya, sejak aktif dengan bidang ternakan itu, isteri dan ibu mentuanya juga sudah mula membuat pekasam puyu dan pernah menjual sehingga 10 kilogram sehari.

Tambah kolam

Bermula dengan sebuah kolam, Yazib kini dalam proses membina sebuah lagi projek kolam ikan puyu selain ikan patin di kolam yang sama untuk menampung permintaan dan pasaran.

Yazib berkata, sehingga hari ini sebanyak RM15,000 sudah dibelanjakan termasuk kos anak benih, pembinaan kolam dan makanan.

“Ikan patin kolam ni sekadar untuk memenuhkan ruang kolam sahaja. Ikan haruan pun ada tapi dipelihara dalam kolah dan tak banyak. Cuma puyu yang saya jadikan bisnes serius sebab bagi kita orang Melayu, ikan puyu mempunyai pelbagai kegunaan dan kebaikan.

“Menu masakan ikan puyu yang paling sedap pula bagi saya ialah puyu masak pedas dan pekasam. InsyaALLAH sekiranya tiada aral melintang saya akan tambah sebuah kolam lagi kerana isteri dan ibu mertua juga serius dalam pembuatan pekasam,” katanya.

Ibu beri semangat

Isteri Yazib, Nora Azila Che Ali, 25, berkata, buat masa ini pasaran ikan puyu hidup dan pekasam masih terhad sekitar penduduk setempat serta kenalannya dan Yazib menerusi akaun Facebook berikutan jumlah ikan belum dapat memenuhi permintaan dan mereka masih baharu di dalam bidang tersebut.

“Ikan-ikan yang ada baru berusia enam bulan. Kami perlu tambah lagi kolam dan anak benih untuk pasaran luar. Awal-awal dahulu anak ikan banyak yang mati dan pernah 2,000 ekor sehari. Kami letak jaring untuk elak pemangsa seperiti biawak.

“Pengalaman mengajar kami banyak perkara dalam mengendalikan ikan-ikan ini dan masa pelihara jumlah yang sedikit memang rasa mudah tapi bila dah banyak sampai berpuluh ribu ekor, kena fokus dan serius sebab itu dalam kebanyakan masa suami selalu berada di kolam,” katanya.

Menurut Nora, insan yang paling banyak memberikan galakan dan sokongan dalam bidang tersebut adalah ibunya sendiri, Che Nah Saidin, 60.

“Bayangkan pekasam terjual sehingga 10 kilogram sehari. Memang seronok! Itu yang menyebabkan saya dan ibu semakin bersemangat hasilkan pekasam ikan puyu,” katanya yang bercadang untuk menjenamakan produknya sedikit masa lagi – Sinarharian

(Visited 495 times, 2 visits today)

Add Comment