Petua Semulajadi Halau Nyamuk Dengan Limau Nipis Dan Bunga Cengkih. Begini Caranya…

5 Tips Mudah dan Terbukti Berkesan Menghalau Nyamuk

Kalau tengah sedap layan tidur, lepas tu tiba-tiba dengar bunyi nyaring benda terbang tepi telinga, kulit badan pula tiba-tiba gatal sana, gatal sini, mesti rasa nak marah kan? Kacau daun betul. Bila balik kampung lagi lah, kalau tak pasang ubat nyamuk, tak sah.

Lagipun sekarang ini makin macam-macam penyakit yang dibawa nyamuk. Demam denggi, demam zika, malaria, Japanese encephalitis, macam-macamlah! Jadi, sebelum anda atau ahli keluarga dijangkiti penyakit-penyakit yang boleh membawa maut ini, amalkan 5 tips berikut untuk mengelakkan diri daripada gigitan nyamuk:

#1 Gunakan kelambu


Pada kurun ke-18, kain kelambu digunakan oleh ratu Mesir terkemuka, Cleopatra untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk. Ketika itu, hanya keturunan diraja dan saudagar kaya sahaja mampu untuk memasang kelambu di katil.

Masa kita kecil-kecil pun atok dan nenek selalu menggunakan kelambu bila kita balik kampung kan? Rasa macam renyah nak pasang, tapi ini adalah salah satu cara paling efektif untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk. Lagipun sekarang dah banyak jenis kelambu ada dijual. Tak susah sangat dah.

#2 Semburan nyamuk
Nyamuk paling aktif dan berleluasa pada waktu subuh dan senja. Agak-agak dah dekat nak waktu Maghrib tu, anda semburlah seluruh kawasan rumah menggunakan apa-apa semburan aerosol nyamuk yang ada di rumah. Sembur menghala ke siling, fokus pada tempat yang gelap seperti bawah tangga ataupun bahagian belakang sofa yang berwarna hitam kemudian tutup semua pintu dan tingkap.

Jangan sembur ke tempat-tempat yang selalu dipegang seperti meja atau kabinet dapur dan pastikan semua makanan ditutup sebelum menyembur ya.

#3 Gunakan ubat nyamuk
Sebelum anda masuk tidur, bolehlah memasang ubat nyamuk. Pelbagai jenis ubat nyamuk ada dijual di pasaran. Kalau anda rasa ubat nyamuk jenis lingkaran itu berbahaya, bolehlah beli yang jenis elektrik.

Bagi yang mempunyai anak kecil, disarankan guna yang elektrik ya. Pasang di tempat tinggi sedikit.

#4 Losen anti nyamuk
Kalau anda rajin dan ada bajet, bolehlah membeli losen penghalau nyamuk yang mengandungi DEET (diethyltoluamide). Walaupun losen ini sangat berkesan, namun masih ramai pengguna berasa khuatir dan ragu-ragu dengan keselamatannya kerana mengandungi bahan kimia berbahaya.

Sebagai pengguna bijak, anda boleh semak label terlebih dahulu sebelum membeli. Sekiranya kandungan DEET melebihi 30%, elakkan membeli kerana ini boleh memudaratkan.

Selain itu, menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2015, saintis mendapati bahan lebih organik seperti picadirin dan lemon eucalyptus lebih efektif daripada losen DEET. Cari produk yang mengandungi 20% picadirin ataupun 30% minyak lemon eucalyptus.

#5 Pastikan kawasan sekeliling rumah tiada air bertakung
Sedikit sahaja takungan air pun sudah boleh menjadi kawasan pembiakan nyamuk secara besar-besaran. Tahukah anda, seekor nyamuk Aedes boleh menghasilkan lebih kurang 100 telur pada satu-satu masa? Jadi, cara paling berkesan untuk membasmi pembiakan nyamuk adalah dengan memastikan tiada tempat air bertakung di rumah anda.

Periksa kawasan luar rumah seperti pasu, sinki dan longkang. Sekiranya nampak takungan air, bersihkan dengan kadar segera. Buang semua sampah-sarap seperti tin dan plastik yang boleh menadah air hujan tanpa anda sedari.

Sekiranya anda menggunakan kolah atau besen tadahan air, pastikan ia bertutup atau boleh juga dimasukkan ubat bagi mengelakkan nyamuk membiak.

#6 Petua orang terdahulu (extra)
Gunakan Limau nipis dan bunga cengkih seperti didalam gambar dibawah. Petua ini bergantung kepada jenis nyamuk juga. Diceritakan bahawa nyamuk hutan tidak akan mengendahkan petua ini mungkin kerana mereka lebih “sado” berbanding nyamuk bandar yang berkeliaran di rumah-rumah orang.

Nyamuk boleh membunuh. Marilah bersama-sama lindungi keluarga daripada nyamuk dan wabak penyakit yang dibawanya – Via Iluminasi

Amal Petua Lama Halau Nyamuk

Bahan da­pur boleh menjadi sumber al­ter­natif yang mungkin boleh di­amalkan untuk menghalau nyamuk ketika negara kini berdepan penularan penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan Zika.

Berdasarkan carian dalam internet, terdapat pelbagai bahan semulajadi digunakan untuk menghalau nyamuk terutamanya di kawasan kediaman, termasuk petua lama menggunakan serai wangi, menanam pokok jeremin (halau nyamuk) mahupun petua mudah dengan mencucuk bunga cengkih pada limau nipis.

Berkongsi tips menghalau nya­muk, Noraini Jamsit, 53, berkata sudah lebih 50 tahun keluarga­nya mengamalkan petua menggunakan limau nipis dan bunga cengkih untuk menghalau nyamuk.

Katanya, amalan turun temurun itu jelas berkesan kerana ke­diamannya bebas daripada nya­muk dan lalat sejak ia diamalkan.

Beliau yang tinggal di Palong 13, Negeri Sembilan, berkata, dia tidak perlu menggunakan kelambu atau sebarang semburan bahan kimia untuk mengelak daripada gigitan nyamuk.

“Selain bahan-bahannya se­nang diperoleh, cara ini juga menjimatkan perbelanjaan dan aromanya cukup menenangkan,” katanya kepada Bernama.

Bagi Rukiah Rahmat, 80, beliau menggunakan cara yang berbeza untuk menghalau nyamuk iaitu membakar sabut kelapa pada waktu senja.

“Pukul 6 petang saya sudah mula kumpul sabut kelapa dan bakar di bawah rumah. Asap daripada bara sabut kelapa yang dibakar boleh menghalau nyamuk,” katanya yang pernah mengamalkan cara itu ketika tinggal di Kampung Tambak Bugis, Melaka.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Parasitologi dan Entomologi Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Roslaini Abd. Majid berkata, tiada bukti saintifik yang membuktikan keberkesanan petua-petua lama itu untuk menghalau nyamuk setakat ini.

“Cuma saya rasa aroma yang kuat daripada penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti serai wangi, pokok jeremin dan bunga cengkih mungkin menjadi faktor penghalang kepada gigitan nyamuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia merekodkan kes pertama apabila seorang wanita berusia 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang, Selangor positif dijangkiti virus zika, dan disyaki mendapat gejala itu semasa berkunjung ke Singapura.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Chong Chee Kheong berkata, pesakit yang dijangkiti zika akan dirawat menggunakan kaedah seakan sama untuk merawat denggi memandangkan virus itu disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. – BERNAMA

(Visited 240 times, 2 visits today)