“‘Pok Li’ Pernah Ajak Menonton Video Lucah, Membuka Seluar Dan Meraba, “Pok Li” Ada Mengambil Gambar Kemaluan Adik”

Seorang peniaga ikan dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap anak jirannya, tiga tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Wan Azimah Yaacob terhadap tertuduh, Zuriak Dagang, 59, selepas didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permintaan tertuduh untuk menangguhkan hukuman sementara tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Selain itu mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Zuriak didapati merangsang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di daerah ini antara 4 hingga 17 Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Perbuatan tertuduh hanya diketahui ibu mangsa selepas terbaca berita mengenai lelaki itu yang juga jirannya ditangkap polis kerana mencabul seorang kanak-kanak jam 12 tengah hari pada 17 Disember 2016.

Wanita itu terus bertanyakan anaknya sama ada tertuduh dikenali ‘Pok Li’ pernah melakukan perbuatan tidak senonoh ataupun tidak kerana mangsa sebelum ini pernah ke rumah tertuduh.

Setelah didesak sambil menangis mangsa memberitahu tertuduh pernah mengajak menonton video lucah, membuka seluar dan selain meraba, tertuduh juga ada mengambil gambar kemaluannya. – Sinar Harian