Pramugara Tunai Janji Kejut Untuk Solat Subuh, Ustaz Ebit Liew Terharu Dapat Solat Bersama

KUALA LUMPUR, 21 Jan — Kebaikan seorang pramugara mengejutkan pendakwah bebas, Ebit Lew mengerjakan solat Subuh dalam pesawat mendapat pujian warga maya.


Video Ebit bersolat bersama anak dan isteri di ruangan kecil pesawat itu dikongsikan pendakwah tersebut di Instagram hari ini.

Menurut Ebit yang dalam perjalanan ke Jepun bersama keluarga, beliau sempat berpesan kepada salah seorang pramugara agar mengejutkan beliau pada waktu subuh sebelum tidur.

“Sekali masuk waktu solat Subuh, pramugara datang dan kata ustaz sudah boleh Subuh. Baiknya beliau ingatkan,” kata Ebit sambil berterima kasih.

“Baik-baik semua pramugara MAB ini melayan  dan membantu saya, isteri, anak-anak saya solat.

Tambah Ebit, perasaan menjadi lebih tenang apabila dapat menunaikan solat Subuh di mana sahaja meskipun seseorang berada dalam apa jua keadaan, sihat atau sakit malah boleh dilakukan tanpa halangan seperti berdiri dan duduk.

Ebit yang terkenal dengan pendekatan dakwah di jalanan meluahkan kesyukuran kerana dapat berkongsi kebaikan dan nasihat berguna kepada orang sekeliling.

Video kurang seminit itu mendapat 242,904 tontonan selepas tiga jam dimuat naik. Dipercayai rakaman itu diambil sewaktu Ebit dan keluarganya dalam perjalanan ke Tokyo, Jepun.