
Enaknya jika dapat menikmati sajian Ayam Meraung yang sangat sedap dan mudah ni. Ditambah pula dengan sos yang padu, memang betul-betul nikmat! Nak cuba masak sajian istimewa ini untuk keluarga? Resipi mudah perkogsian saudari Mas Salleh ni antara yang terbaik. Bahan pun ringkas sahaja. Sangat berbaloi untuk dicuba.
CARA MASAK SOS & AYAM MERAUNG YANG SANGAT SEDAP
BAHAN SOS (sukatan bahan ikut citarasa):
Cili merah besar – cincang kasar
Cili padi hijau – cincang kasar
Bawang putih – cincang kasar
Bawang merah – cincang kasar
Daun ketumbar beserta akar – cincang kasar
Gula kabung secukupnya
Sos ikan
Sedikit beras pulut sangai – tumbuk halus
Sedikit emping cili
Limau nipis secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Satukan bahan-bahan cincang bersama bahan-bahan lain. Sebatikan.
2. Perah jus limau nipis mengikut selera masing-masing.
3. Gaul rata dan ketepikan seketika.
BAHAN AYAM MERAUNG:
2 keping dada ayam
Sedikit kicap pekat
Sos tiram secukup rasa
Sos ikan secukup rasa
Sedikit minyak
Sedikit gula
CARA MEMASAK:
1.Bersihkan ayam dan perap bersama kicap pekat, sos tiram, sos ikan, sedikit minyak dan gula. Tidak perlu garam kerana telah ada rasa masin dari sos.
2. Perap ayam seketika. Jika mahu lebih sedap, boleh perap lebih lama.
3. Panaskan kuali tahan lekat (non-stick) dan panggang hingga ayam masak.
4. Bila ayam telah masak, keluarkan dan hiris ikut selera.
5. Hidangkan bersama sos yang telah disediakan awal tadi.
Kredit resipi & foto: Mas Salleh