Masak Lemak Cili Api Ikan Kembung Campur Kacang Buncis ni memang sedap. Lauk serba ringkas tapi bila padanannya kena, lauk yang ringkas bertukar menjadi enak dan mewah. Malah tidak perlu masak banyak menu, satu hidangan ini sahaja sudah lengkap. Ada protein dan sayurnya. Jom cuba resipi perkongsian saudari Suriani Mohd ini. Anda pasti sukakan rasanya.
ENAKNYA MASAK LEMAK CILI API IKAN KEMBUNG CAMPUR KACANG BUNCIS
BAHAN-BAHAN:
6 ekor ikan kembung segar
1 genggam cili api
1 sudu makan serbuk kunyit – lebih sedap guna kunyit hidup
4-5 keping asam gelugur
1 cawan air
1 kotak kecil santan – boleh guna 1 biji santan segar
1 mangkuk kacang buncis
Garam secukup rasa
Serbuk perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
1.Tumbuk cili padi bersama kunyit hingga lumat.
2. Masukkan ikan yang telah dibersihkan ke dalam kuali @ periuk. Masukkan bahan-bahan tumbuk.
3. Tambahkan juga asam gelugur ke dalam kuali.
4. Masukkan air. Buka api dan gaul semua bahan perlahan-lahan hingga sebati. Renehkan seketika.
5. Bila ikan kelihatan sedikit kecut, masukkan santan. Lebih sedap jika menggunakan santan segar yang diperah. Kepekatannya ikut suka sama ada pekat atau cair.
6. Seterusnya masukkan hirisan kacang buncis dan perasakan dengan garam serta perasa dengan secukupnya
7. Masak hingga ikan masak sempurna dan kacang buncis juga lembut.
8. Padamkan api dan sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Suriani Mohd