Sedapnya kalau dapat menikmati Lepat Cendol. Rasanya yang lemak-lemak manis, memang tak jemu dimakan. Resipinya pun tak susah. Menerusi perkongsian saudari Azliana Salleh, beliau berkongsi satu resipi Lepat Cendol yang cukup mudah. Tidak perlu kukus pun. Hanya perlu masak dalam kuali dan bungkus sahaja menggunakan daun pisang. Memang enak dan dijamin menjadi. Jom lihat cara-cara pembuatannya.
CARA MASAK LEPAT CENDOL SEDAP TANPA KUKUS
BAHAN-BAHAN:
1 cawan gula
Secubit garam
5 1/2 cawan santan
1 cawan tepung jagung (tambah lagi 2 sudu makan)
1 cawan cendol
Daun pisang secukupnya
CARA MEMASAK:
1.Satukan semua bahan kecuali cendol di dalam kuali. Kacau sebati kemudian masak atas api perlahan. Pastikan adunan sentiasa dikacau supaya tidak berketul. Masak adunan sampai pekat berkilat.
2. Kemudian masukkan cendol dan kacau lagi sampai adunan meletup-letup kecil. Padamkan api.
3. Ambil daun pisang yang sudah dibersihkan, sudukan adunan dan bungkus Lepat Cendol semasa masih panas.
4. Bungkus dengan kemas dan lakukan hingga habis adunan.
5. Bila Lepat telah sejuk, bolehlah dinikmati. Kuih ini tidak perlu dikukus. Boleh terus dimakan.
Kredit resipi & foto: Azliana Salleh