“Saya Dan Isteri Sudah Tua Dan Hanya Tinggal Berdua. Betis Kaki Kami Sangat Sakit” Penduduk Melaka Derita Masalah Air

Sepasang warga emas terpaksa memikul berbotol-botol air simpanan naik ke rumah mereka di tingkat lima Pangsapuri Laksamana Utama di sini selepas kawasan kediaman mereka itu masih mengalami gangguan bekalan air sejak enam hari lalu.

Lo Lee Thiam, 68, berkata, dia dan isteri, Gan Kim Yok, 65, terpaksa berpaut antara satu sama lain sewaktu menaiki tangga ke tingkat paling atas pangsapuri itu sambil membawa bekalan air yang diambil tiga kali sehari dari tangki dibekalkan di kawasan itu.

Luahnya, dia bagaimanapun amat kesal apabila pihak berkuasa tidak memaklumkan mengenai krisis itu lebih awal bagi membolehkan penduduk bersiap sedia dan menyediakan takungan air di rumah masing-masing.

“Saya dan isteri sudah tua dan hanya tinggal berdua. Betis kaki kami sangat sakit selepas terpaksa mengangkut air dari bawah sehingga ke rumah kami di tingkat lima.

“Hari ini sudah masuk hari keenam kawasan ini mengalami gangguan bekalan air. Saya memohon pihak berkuasa dapat menyelesaikan krisis ini secepat mungkin dan tolong maklumkan lebih awal supaya kami dapat membuat simpanan air di rumah,” katanya ketika ditemui di pangsapuri itu hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Lee Bee Leng, 53, berkata, masalah gangguan air itu adalah yang paling lama dihadapi berbanding tahun-tahun sebelum ini sehingga mengganggu produktiviti harian.

“Saya tinggal bersama ibu berusia 70-an dan seorang anak saudara masih bersekolah. Saya terpaksa pulang lebih awal ke rumah kerana perlu mengangkat bekalan air, kalau lambat air di dalam tangki akan tinggal sedikit,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong turut dilihat berada di kawasan tersebut bagi meninjau bekalan air tangki penduduk.

Artikel Berkaitan   Bomba Datang Untuk Selamatkan Mangsa, Rupanya Mangsa Terlalu Panik Sehingga Kena “Troll” Bomba Undang Gelak Besar

Beliau ketika ditemui berkata, kerajaan negeri bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sedang berusaha menyelesaikan krisis itu secepat mungkin, selain mengakui kelemahan mengenai notis pemberitahuan.

“Apabila sampai waktu begini, saya sebagai ADUN juga berdepan masalah gangguan bekalan air, namun berharap rakyat Melaka dapat bersabar dan menggunakan air sebaik yang mungkin.

“Kita juga akan meneliti semula kelemahan dari segi pemberitahuan masalah gangguan air yang disuarakan,” katanya memberitahu dia turut mengangkut bekalan air 10 tong di stesen minyak berdekatan rumahnya di Cheng bagi keperluan lima ahli keluarganya.

SAMB menerusi laman rasminya memaklumkan krisis itu disebabkan purata hujan yang rendah seterusnya mengakibatkan paras air di kawasan empangan, kolam tadahan serta sungai Melaka berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Setakat ini sebanyak 25 kawasan masing-masing 17 di Melaka Tengah, Jasin (lima) dan Alor Gajah (tiga) mengalami gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu. – K! ONLINE