“Saya Menaruh Harapan Suami Balik Dalam Keadaan Selamat”

“SAYA ada dengar mangsa selamat beritahu suami sempat berpaut pada pelampung, jadi saya menaruh harapan suami balik dalam keadaan selamat,” kata Siti Ayu Ishak.


Siti Ayu, 30, adalah isteri kepada Arman Ismail, 43, yang masih hilang bersama dua lagi mangsa iaitu Harun Daud, 57, dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Siti Ayu berkata, Arman tidak suka turun ke laut, namun kali ini dia beria-ia mahu mengikuti bapa saudara kepada birasnya, Azhar Mat Nisah, 48, yang juga tekong bot turun ke laut untuk memancing dan mencandat sotong, petang semalam.

Katanya, suami baru empat kali keluar memancing ke laut dan kali ini dia kelihatan seronok mahu mengikut Azhar membawa pemancing dari Pasir Mas untuk memancing dan mencandat sotong.

“Daripada cerita mangsa selamat, mereka beritahu dalam keadaan kelam kabut, Azhar cuba menyelamatkan semua penumpang termasuk suami.

“Anak Azhar kata dia sempat capai tangan suami saya, namun terlepas kerana ribut kuat, tetapi Azhar pantas mencampakkan pelampung kepada suami yang terjatuh dalam laut.

“Dari situ, saya berdoa, suami kuat semangat dan bertahan jika betul dia sempat capai pelampung sebelum hanyut ditelan ombak,” katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, di Bachok, hari ini.

Siti Ayu berkata, walaupun suaminya hilang selepas bot mereka terbalik dilanda ribut pada 8.30 malam tadi, namun dia tidak akan putus berdoa serta berharap ada keajaiban berlaku.

Katanya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada tengah hari semalam selepas Arman menghantarnya pulang ke rumah keluarganya kerana mahu bermalam di laut.

“Saya tak sempat tatap betul-betul muka suami, apa pakaian dia pakai, dia kata hanya pergi untuk satu malam sahaja dan sepatutnya balik pagi tadi.

“Suami berniaga sendiri dan kami mempunyai tiga anak berusia sembilan, enam dan tiga tahun,” katanya.

Setakat 7 malam tadi, usaha mencari tiga lagi mangsa hilang diteruskan dan bot yang mereka naiki berjaya ditunda ke muara Kemasin bagi memudahkan pihak berkuasa mencari mangsa.

kredit harian metro