
Argentina – Seekor anak lembu ganjil yang mempunyai tiga mata dan dua mulut dirakam oleh seorang petani dekat sini, lapor akhbar Daily Star.
Rakaman tersebut menunjukkan kepala anak lembu itu yang bersambung dipegang oleh seorang petani.
Walaupun mempunyai tiga mata dan dua mulut, ia masih mempunyai sepasang telinga yang normal.
Insiden aneh itu berlaku di sebuah ladang ternakan di perkampungan Nasalo yang terletak di antara dua buah bandar iaitu Quimili dan Anatuya di wilayah utara Argentina, Santiago del Estero.
Tidak diketahui sama ada haiwan itu masih hidup selepas dilahirkan tetapi laporan tempatan menyatakan, petani itu terkejut melihat anak lembu ganjil berkenaan.
Bagaimanapun, seorang netizen yang menonton klip video tersebut menyatakan bahawa rupa anak lembu ganjil itu disebabkan oleh kecacatan biasa.
“Ia adalah anak lembu kembar Siam,” katanya.
“Kecacatan ini disebabkan oleh racun makhluk perosak.” kata netizen lain. – Agensi