TIGA lelaki warga Bangladesh pada awalnya sangat teruja dan seolah-olah tidak sabar mahu menziarahi rakan mereka di hospital, sebaliknya menerima perkhabaran duka apabila memaklumkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
Mereka pada mulanya datang dengan berpakaian kemas menemui petugas di kaunter pendaftaran hospital untuk bertanyakan wad rakan mereka, namun kakitangan hanya mampu tunduk dan menunjukkan ke arah rumah mayat.
Ketiga-tiga warga asing terbabit menyangka rumah mayat itu adalah wad rakan mereka sebelum berjalan ke situ.
Sebaik tiba, mereka mendapati sekujur tubuh dilitupi kain putih di atas troli menyebabkan ketiga-tiga mereka akhirnya tidak henti menangis.
Cerita sedih ini dikongsikan salah seorang penuntut yang menjalani latihan amali di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 23 September lalu.
Menerusi twitternya, penuntut ini mendakwa didatangi tiga warga asing untuk melawat rakan mereka yang dimasukkan ke hospital.
Menurut pemiliknya, Syazwan Iman, 26, episod itu berlaku sekitar jam 12 tengah hari ketika waktu melawat dan tiga sekawan warga asing itu tiba untuk menziarahi rakan.
Syazwan berkata, salah seorang menghubungi majikan bertanyakan rakannya, namun mereka memberikan telefon bimbit kepadanya untuk bercakap dengan majikan mereka.
“Majikannya meminta saya memberitahu rakannya sudah meninggal dunia dan menunjukkan di mana jenazah itu berada.
“Saya yang berada di kaunter membawa mereka hingga ke rumah mayat.
“Sebaik tiba, ketiga-tiga kelihatan tersenyum mungkin menyangka itu wad dihuni rakan selain sempat ucap terima kasih dengan riak wajah gembira,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Melihat wajah ceria mereka, Syazwan hanya mendiamkan diri sebelum ketiga-tiga warga asing itu memasuki bilik mayat itu.
Tidak lama kemudian, mereka keluar sambil menangis kerana baru mengetahui rakannya sudah meninggal dunia.
“Dua daripada mereka berpelukan manakala seorang dalam keadaan tenang. Saya tidak pasti punca kematian tetapi maklumat daripada majikan mengatakan dia meninggal dunia ketika mandi.
“Inilah pengalaman sukar dilupakan sepanjang menjalani latihan praktikal sepanjang tiga tahun di hospital itu,” katanya.