Pernah cuba Nasi Goreng Butter Salmon? Memang sedap dengan rasa berlemak dari butter dan salmon serta pedas-pedas manja dari cili merah kisar ini.
Hidangan ini diinspirasikan dari nasi goreng ala jepun kerana menggunakan isi salmon sebagai bahan rencah. Cuma kita ‘adjust’ sedikit dengan meletakkan cili kisar supaya sesuai dengan tekak melayu.
Kaedah nak memasak pun mudah untuk diikuti. Tumis seperti nasi goreng yang biasa kita buat dan walla, siap!
Ikuti resipi dari perkongsian @adikfoods dari laman TikTok ini yang sudah meraih tontonan sehingga 300k ini. Memang menarik untuk dicuba!
RESIPI NASI GORENG BUTTER SALMON
Sedap dengan rasa lemak dari butter dan salmon serta rasa pedas-pedas manja dari cabai merah besor. Kome nak rasa pedas menyengat letak lebih cabai burung. Sayur boleh guna sayur Baby Spinach atau sayur hijau yang lain. Moh le buat!
Bahan-bahan:
- Nasi putih semalaman
- Salmon – potong dadu sederhana
- Butter
- 2 biji telur
- Sayur Baby Spinach
- Sedikit lada hitam
- Minyak zaitun untuk menumis
Bahan kisar:
- 3 tangkai cili merah
- 1 biji bawang merah
- 1 ulas bawang putih
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, goreng dahulu isi ikan salmon dengan minyak zaitun. Tos dan ketepikan.
2. Kemudian, cairkan butter dan tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.
3. Bila dah mula terbit minyak, masukkan telur dan scrambble kan ia.
4. Masukkan nasi putih semalaman dan kacau bagi sebati. Boleh masukkan bahan perasa.
5. Goreng sehingga nasi itu nampak berasap-asap. Masa ini dah boleh masukkan sayur rencah iaitu baby spinach.
6. Akhir sekali, masukkan isi salmon yang sudah digoreng tadi. Gaul bagi sebati.
7. Boleh tutup api dan sedia untuk dihidang.
Selamat mencuba resipi Nasi Goreng Butter Salmon ini.