“Sekelip Mata Allah SWT Ambil Awak Sayang … Ibu Sayang Anaqi Tsaqeef Sangat-Sangat!”

PAGI 18 September lalu, Anaqi Tsaqeef bangun seperti biasa malah suaranya cukup riang dengan gelak tawa sebaik membuka mata.


Bayi berusia empat bulan 13 hari itu seperti biasa diberikan sarapan oleh ibunya Nur Dalila Aqilah Mohd Yusof, 27, tanpa menunjukkan apa-apa penyakit.

Tiba-tiba pada 12 tengah hari, tubuh anak syurga itu mula panas dan pemeriksaan mendapati suhu badannya naik kepada 38.3 darjah celsius sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.

Selepas lima hari, anak sulung pasangan Nur Dalila Aqilah dan Muhammad Ikhwan Bahari, 29, akhirnya dijemput mengadap Ilahi selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Ketika berkongsi kisah sedih itu, Nur Dalila Aqilah berkata, suhu badan arwah tidak banyak berubah sehari selepas itu hingga melarat dan mengalami cirit-birit.

Gambar kenangan Nur Dalila Aqilah dan suami bersama anak mereka. FOTO Ihsan Nur Dalila Aqilah Mohd Yusof

Nur Dalila Aqilah berkata, anaknya mula mengalami kehilangan banyak air dalam badan dan pelbagai cara dilakukan namun keadaannya tidak banyak berubah.

Menurutnya, suhu badan tidak banyak berubah hanya sekitar 37.5 hingga 39 darjah celsius sebelum dia dan suami membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

“Ketika itu, saya dan suami tidak sanggup melihat Anaqi Tsaqeef dalam keadaan tidak bermaya.

“Disebabkan terlalu ramai pesakit dan terpaksa menunggu lama, kami tiada pilihan melainkan membawanya ke sebuah klinik di Tikam Batu.

“Sebaik diberikan ubat, suhu badan Anaqi Tsaqeef turun kepada 35 darjah celsius dan demam mulai sembuh namun ia tidak kekal lama apabila suhunya kembali naik, saya dan suami tidak senang duduk memikirkan apa lagi hendak dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan semakin parah apabila Anaqi Tsaqeef mengerang kesakitan pada tengah malam 23 September lalu sebelum dia membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Ketika itu, Anaqi Tsaqeef seperti dalam keadaan tenat kerana nafas terlalu laju.

“Disebabkan terlalu ramai orang, kami sekali lagi mengambil keputusan membawa ke hospital swasta dan pakar memberitahu keadaan arwah semakin teruk.

“Arwah kemudian dimasukkan ke zon merah dan pada masa itu, saya tidak sempat mencium kerana rawatan perlu disegerakan.

“Sebaik selesai, anak dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan doktor merawat memberitahu keadaannya sangat kritikal dan bila-bila masa akan meninggal dunia,” katanya.

Sejak 2 hingga 6 pagi hari sama, Anaqi Tsaqeef tidak menunjukkan maklum balas dan pada 10 pagi hari sama, dia kembali menemui pencipta-Nya.

Keletah Anaqi Tsaqeef yang kini tinggal kenangan. FOTO Ihsan Nur Dalila Aqilah Mohd Yusof

“Arwah pergi dengan tenang tanpa sekelumit menyusahkan ibu abah. Sekelip mata Allah SWT ambilnya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi.

“Kami sedaya upaya mencuba untuk arwah tapi sudah tertulis setakat itu saja dia bersama ibu dan abah.

“Rindu ibu dan abah terhadap arwah tidak akan hilang. Moga Allah beri kekuatan luar biasa kepada kami untuk menempuh ujian ini,” katanya.

Kisah itu dikongsikan dalam Facebook Nur Dalila Aqilah hingga mendapat perkongsian lebih 9,000 netizen dan rata-rata mereka meluahkan simpati terhadap apa yang menimpa pasangan terbabit.