Ibu Jadi Tak Tentu Arah Apabila Anaknya Terkunci Dalam Kereta, Bomba Terus Berkejar Ke Tempat Kejadian

KLANG –  Seorang ibu cemas apabila bayi perempuan berusia setahun terkunci dalam kenderaan di hadapan rumah pengasuhnya di Jalan Mahligai, Bandar Bukit Raja di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, bayi tersebut dipercayai terperangkap selama 20 minit sebelum diselamatkan anggota bomba.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, berdasarkan maklumat awal mendapati wanita berusia 29 tahun baharu sahaja pulang daripada kerja dan mengambil anaknya itu di rumah pengasuh.

Katanya, bayi tersebut kemudiannya diletakkan di tempat duduk khas bayi di bahagian depan dengan mangsa kemudiannya menyimpan beg tangan di but kereta jenis Honda Civic.

“Sebaik wanita itu menutup but kereta itu didapati kereta tersebut terkunci daripada dalam dengan sendirinya.

“Mangsa dikatakan cuba membuka namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Beliau memberitahu, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.02 petang.

“Bomba yang tiba pukul 7.13 petang kemudiannya bertindak pantas dan berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh lima minit.

“Bayi tersebut kemudiannya diserahkan kepada ibu mangsa,” jelasnya. – K! ONLINE