Siang Ikan , Mengopek Bawang Hingga Memasak Dilakukan Pakai Kaki, Cerita Kehidupan Laila Buat Ramai Sebak

DILAHIRKAN tanpa kedua belah tangan, bukan tiket untuk seorang wanita berpeluk tubuh, sebaliknya dia mampu melakukan pelbagai pekerjaan.

Itu keistimewaan dimiliki wanita kental, Laila Setapa, 39, dari Kampung Sungai Pas di sini, walaupun tidak mempunyai kedua-dua tangan hingga ke paras bahu.

Sesiapa yang pertama kali melihat keadaan fizikal Laila pasti memikirkan banyak kesulitan yang dihadapinya.

Namun, kemampuan Laila yang tidak kekok menggunakan pisau, memasak, menulis dan memasukkan benang ke dalam jarum menggunakan jari kaki pasti membuatkan ramai terpegun.

Baginya, tiada apa yang menyukarkannya kerana sejak lahir kakinya bukan sahaja digunakan untuk berjalan, tetapi menggantikan tangan untuk menguruskan diri, melakukan kerja rumah dan bekerja untuk kelangsungan hidup.

“Selepas tamat sekolah, saya bekerja di beberapa pasar raya di sekitar Kuala Krai dan tiada masalah untuk saya membuat kerja seperti orang lain seperti menyusun barang dalam kedai.

“Selain itu, saya juga pernah bekerja di bengkel jahitan dan diberi tugas menjahit butang, kelim tangan dan menampal manik.

“Mungkin bagi orang lain kerja menjahit tidak mampu dilakukan oleh orang seperti saya namun kaki ini langsung tidak kekok memasukkan benang ke dalam jarum dan menjahit,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ditanya mengenai pengalaman ketika di bangku sekolah, Laila yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berkata, dia dilayan seperti pelajar lain cuma akan diberikan kerusi tambahan yang berfungsi sebagai meja ketika menulis.

Dia berkata, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia pernah ditawarkan melanjutkan pengajian ke sebuah kolej di luar Kelantan.

Namun, katanya, keluarga berat untuk melepaskannya kerana bimbang berdepan kesukaran akibat kekurangan dimiliki.

Artikel Berkaitan   Jangan Pilih Isteri Selain Daripada 3 Ciri Isteri Pembuka Rezeki Ni. Rezeki Suami Akan Tersepit Dan Tertutup Rapat!

Laila kini tinggal bersama ibunya, Minah Awang Lah, 75, selepas semua adik beradik lain sudah berumah tangga.

“Memandangkan mek (ibu) pun tidak larat, saya yang biasanya memasak. Semua proses termasuk menyiang ikan atau ayam, mengopek bawang hingga memasak memang tiada masalah bagi saya.

“Hanya jika ingin membuat masakan menggunakan santan sahaja saya memerlukan bantuan mek untuk memerah kelapa untuk mendapatkan santan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jodoh dan hasrat untuk berumahtangga, Laila berkata, dia tidak terlalu memikirkan hal itu, tetapi pada masa sama tidak menolak andainya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menerima kekurangannya.

“Saya sering terfikir jika berkahwin nanti, mungkin akan membebankan orang… Disebabkan itulah saya tidak terlalu memikirkan soal jodoh dan serahkan pada Allah,” katanya.